Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perubahan jadual punca waran tangkap Tian Chua'
Diterbitkan:  Dec 19, 2017 8:09 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Perubahan jadual dan 'sedikit' lewat sampai ke mahkamah menyebabkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap naib presiden PKR Tian Chua, kata peguam Latheefa Koya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Latheefa berkata pengurusan kes untuk rayuan Tian Chua mengenai sabitan kes hasutannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sepatutnya diadakan besok pagi.

"Tetapi mahkamah memanggil dan berkata (pengurusan kes akan dijalankan sekarang) pada petang kerana hakim perlu hadir urusan lain," kata Latheefa.

Apabila tiba waktunya, katanya seorang peguam daripada pasukan peguam Tian Chua sedang dalam perjalanan ke mahkamah tetapi tidak dapat hadir tepat pada masanya.

"Peguam kami hadir (ke mahkamah) tapi dia terlewat sedikit. Sidang tamat sebelum beliau sampai," Latheefa memberitahu Malaysiakini.

Latheefa (gambar, atas) berkata peguam tersebut tidak berpeluang menemui Hakim Sofian Abd Razak yang mengeluarkan waran tangkap itu hari ini.

Waran dikeluarkan kerena tiada pihak yang mewakili Tian Chua hadir dalam sesi pengurusan kes.

Latheefa dalam sebuah kenyataan berkata Tian Chua tidak sedar mengenai pengurusan kes itu.

Menurut Latheefa lagi, Tian Chua tidak muncul untuk sesi pengurusan kes itu kerana hanya para peguamnya yang mendapat pemberitahuan mahkamah itu.

Beliau berkata pasukan peguam Tian Chua akan menjelaskan situasi tersebut kepada hakim esok dan akan memohon pembatalan waran tangkap itu.

Boleh hilang kelayakan MP

Pada September tahun lalu, Tian Chua didapati bersalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan kerana didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan pada forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor selepas pilihan raya umum ke-13, lima tahun lalu.

Beliau didapati bersalah dan dihukum penjara tiga bulan dan denda RM1,800.

Tian Chua merayu berhubung kesalahan dan hukuman itu manakala pendakwaan memohon hukuman lebih tinggi.

Melalui peruntukan undang-undang Chua boleh dikenakan denda maksium RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau akan hilang kelayakan sebagai anggota parlimen jika didenda lebih daripada RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Sabitan dan hukuman begitu juga akan menghilangkan kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

 

Lihat Komen
ADS