Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Tan Sri Abdul Halil Mutalib telah lantik peguam Datuk Shafee Abdullah untuk mengendalikan kesnya berhubung dakwaan acara sempena persaraannya membabitkan perbelanjaan RM5 juta.

"Saya tidak mahu menyebut perkara berkenaan, saya telah melantik Datuk Shafee Abdullah...anda boleh tanya kepada peguam saya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat pegawai tinggi Kastam di Langkawi hari ini.

Mengenai kenyataannya semalam untuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap pihak yang memfitnahnya, Abdul Halil berkata ia akan dibuat dalam sedikit masa lagi.

Sementara itu, mesyuarat dua hari ini, mulai hari ini, berjalan dalam suasana muram, mungkin akibat diselubungi isu perbelanjaan acara-acara persaraan Abdul Halil.

Majlis perasmian juga menimbulkan rasa tidak puas hati pihak media yang tidak dibenarkan masuk ke bilik persidangan untuk membuat liputan walaupun penganjur dan Abdul Halil menjemput mereka sebelum itu.

Masalah mereka berlanjutan apabila diberitahu teks ucapan Abdul Halil tidak akan diedarkan walaupun sebelum itu Abdul Halil menyatakan teks ucapannya akan diedarkan kepada wartawan.

Bagaimanapun teks ucapan itu diedarkan hanya selepas wakil media berbincang dengan pegawai atasan KDRM.

Perasmian Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia ke-51 itu dilakukan oleh Pemangku Menteri Besar Kedah Datuk Mahdzir Khalid. Mesyuarat itu diadakan setiap tiga bulan bagi membincangkan pelbagai perkara mengenai operasi dan pengurusan jabatan itu.

Abdul Halil semasa ditemui pemberita selepas majlis perasmian itu enggan menyatakan sama ada mereka akan membincangkan mengenai isu perbelanjaan RM5 juta itu.

Menurut Bernama, Ketua Audit Negara yang diarah menyiasat kes itu telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasatnya dan menjangka dapat menyelesaikannya dalam masa 14 hari.

Tabur fitnah

Abdul Halil telah menjelaskan beliau tidak pernah meminta sebarang majlis perpisahan diadakan, sebaliknya mendakwa ada pihak di jabatan itu sendiri menabur fitnah bertujuan memburukkan namanya.

Ditanya mengenai larangan terhadap media membuat liputan majlis perasmian itu, beliau berkata pegawainya mungkin salah faham dengan arahan yang dikeluarkan.

"Para wartawan boleh membuat liputan majlis perasmian, cuma perjalanan mesyuarat sahaja mereka tidak dibenarkan masuk kerana ia dijalankan secara tertutup," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Abdul Halil meluahkan isi hati berhubung dakwaan kononnya RM5 juta dibelanjakan untuk menganjurkan acara-acara bagi meraikan persaraannya.

" Siapa sangka, ketika bahtera hampir tiba ke pelabuhan,

Tiba-tiba ribut melanda tanpa belas kasihan,

Seolah-olah menenggelamkan keringat tanpa belas kasihan.

Tetapi percayalah

Selagi hayat dikandung badan,

Maruah mereka akan tetap saya pertahankan,

Walaupun tidak ramai yang berani untuk sama-sama tampil ke hadapan,

Mungkin kerana mereka mengira untung sendiri pada masa depan,

Mungkin bila jatuhnya Halil bolehlah mereka menapak pantas ke depan."

Kata-kata berkenaan dipetik daripada teks ucapan beliau yang diedarkan kepada pemberita pada perasmian Mesyuarat Pengarah-pengarah Kastam Se-Malaysia ke-51 oleh pemangku Menteri Besar Datuk Mahdzir Khalid di Langkawi hari ini.

Lantik peguam

Dalam ucapan itu juga, Abdul Halil memuji dan tersentuh hati dengan kegigihan dan pengorbanan pegawai kastam yang dicurahkan kepada negara.

Katanya, sebelum bersara, beliau memang bercadang bertemu mereka untuk mengucapkan terima kasih kerana telah menunaikan amanah dengan cemerlang.

"Namun saya ingin memohon maaf, kadang-kadang apa yang kita rancang tidak semestinya menjadi kenyataan, saya mungkin tidak berkesempatan untuk menyampaikan penghargaan itu kepada seluruh pegawai Kastam yang amat berjasa itu," katanya.