Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan wanita pukul ibu guna mangga pintu

Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian dia memukul ibunya dalam insiden di rumah mereka di Relau, dekat George Town pada 15 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata wanita berusia 21 tahun dan tidak bekerja itu ditahan di Bayan Lepas, dekat sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi pada 15 Disember lepas itu, mangsa berusia 48 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan berada di rumah mereka di Relau sebelum didatangi suspek serta teman lelaki.

"Wanita itu tidak membenarkan mereka masuk ke dalam rumah dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum suspek dan teman lelakinya bertindak memukul pengawal keselamatan berkenaan menggunakan mangga pintu," katanya di George Town hari ini.

Katanya semasa kejadian tiada sesiapa di rumah dan suspek serta teman lelakinya meninggalkan wanita itu selepas mereka memukul mangsa sehingga ibu tersebut mengalami kecederaan luka serta calar di muka.

Reman tiga hari

Anuar berkata mangsa kemudiannya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Katanya anak mangsa dan teman lelaki dipercayai bertindak bersembunyi bagi mengelak dikesan polis namun pihaknya berjaya menahan wanita itu semalam.

"Anak wanita itu kini direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut dan usaha mengesan teman lelakinya berusia 20-an giat dijalankan," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta keganasan Rumah Tangga 1994.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS