Hisham: Peruntukan tambahan baiki SJK usang
Terjemahan Kerajaan telah memperuntukkan tambahan RM10 juta di bawah Rancangan Malaysia Kelapan untuk membaik pulih bangunan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, Tamil dan sekolah yang dikendalikan mubaligh, di seluruh negara.
Bercakap dalam sidang akhbar di Parlimen pagi ini, Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein berkata, peruntukan adalah untuk sekolah-sekolah yang perlu dibaiki segera.
Ditanya jika jumlah peruntukan tersebut mencukupi untuk menangani masalah tersebut, beliau secara berseluruh menjawab: "Jika RM10 juta tidak cukup, saya letak jawatan."
Pada 13 September lalu, kementerian berkenaan mengumumkan, sehingga bulan Jun lalu, 48 sekolah rendah dan 18 sekolah menengah perlu segera dibaikpulih. Ini termasuk 39 sekolah kebangsaan, tujuh SJK Cina dan dua SJK Tamil.
Pengumuman peruntukan itu dibuat selepas kematian seorang guru Chan Boon Heng di Kedah minggu lalu.
Chan (foto), guru di sebuah sekolah rendah Cina, mati selepas terjerumus dari lantai yang reput dimakan anak-anak.
Hishamuddin berkata, sekolah lain boleh memohon peruntukan tersebut di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RM9) tahun depan.
"Kita akan mengeluarkan dengan segera peruntukan tersebut kepada pihak sekolah terbabit kerana kita mahu memastikan keselamatan guru dan pelajarnya," tambahnya.
Menurutnya, peruntukan yang lebih besar akan disdiakan di bawah RM9 kerana sebahagian daripada peruntukan sekarang, sudahpun dibelanjakan untuk menaiktaraf kemudahan komputer di sekolah.
Beliau juga mengingatkan supaya isu tersebut tidak dipolitikkan kerana tindakan seumpama itu hanya akan melewatkan lagi pemberian peruntukan tersebut.
Usul ditolak
Sementara itu di Dewan Rakyat, Timbalan Speaker, Datuk Lim Si Cheng menolak usul tergempar yang dikemukakan oleh Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) untuk membahaskan isu kematian guru berkenaan.
Lim berkata, usul tersebut tidak memenuhi syarat-syarat tergempar kerana Kementerian Pelajaran telahpun mengambil langkah sewajarnya untuk menjaminkan keselamatan pelajar dan guru-gurunya.
"Kementerian telah memberi peruntukan tambahan...Kematian Chan adalah satu kemalangan san semua pihak bersimpati terhadapnya," katanya.
Dalam usul itu, Chong berkata, selain memberi peruntukan, pihak kementerian juga perlu mendapatkan pandangan bagaimana hendak menyelesaikan masalah tersebut dengan berkesan.
Menurutnya, kajian yang dijalankan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Cina, menunjukkan 40 bangunan sekolah rendah Cina menghadap masalah struktur.

