Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua yang lain akan merayu keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi sebanyak RM2 juta kepada Felda dan Felda Global Ventures (FGV) kerana fitnah.

Pada 5 Disember lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Wan Azizah, bekas timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali dan wartawan Rusnizam Mahat membayar ganti rugi RM2 juta kepada Felda dan FGV atas dua artikel fitnah yang disiarkan dalam akhbar PKR, Suara Keadilan.

Francis Pereira, yang mewakili Wan Azizah dan dua yang lain, mengesahkan beliau telah menerima arahan untuk memfailkan rayuan.

"Kami mempunyai 30 hari untuk memfailkan notis itu, dan ia akan difailkan kerana saya baru menerima arahan," katanya.

Saman fitnah itu difailkan terhadap dua artikel Suara Keadilan yang diterbitkan pada tahun 2010, berjudul "Felda Bankrap" dan "Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu".

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada mulanya menetapkan ganti rugi sebanyak RM70,000, namun Hakim Su Geok Yiam kemudian mengarahkan ia dinaikkan kepada RM2 juta kerana mendapati jumlah awal yang diberikan terlalu rendah.

Difahamkan jumlah RM2 juta itu adalah yang tertinggi dalam tahun-tahun kebelakangan ini yang dianugerahkan untuk saman fitnah.

Paling tinggi dalam kes antara Vincent Tan dan MGG Pillai pada tahun 2000 di mana hartawan itu dianugerahkan RM7 juta oleh Mahkamah Persekutuan.