Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSATU gesa siasat RCI Forex bawah Akta Hasutan

Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menuntut pihak polis segera menyiasat laporan Suruhanjaya Siasatan diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga pertukaran asing (forex) pada 1990an di bawah Akta Hasutan.

Mendakwa laporan itu tidak lengkap, Ketua Penerangan Pemuda BERSATU Ulya Aqamah Husamudin berkata RCI Forex gagal mengemukakan keseluruhan nota prosiding serta keterangan saksi.

"Justeru kami yakin dan percaya laporan tersebut tidak lengkap dan cacat serta boleh disamakan dengan satu cubaan dan tindakan pihak yang terbabit menyediakan laporan tersebut untuk menyeleweng fakta kepada Duli Yang di-Pertuan Agong.

“Kami yakin dan percaya bahawa cubaan menyelewengkan fakta ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana cuba untuk menjatuhkan martabat institusi Diraja dengan tindakan menyeleweng laporan tersebut,” kata Ulya dalam sidang media di ibu pejabat BERSATU, Petaling Jaya, hari ini.

Bank Negara pada 30 November memutuskan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang menjadi sebahagian daripada pengurusan Bank Negara sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap kerugian RM31.5 bilion akibat urusniaga forex antara 1992 hingga 1994.

Selain itu RCI juga memutuskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara individu yang bertanggungjawab serta mencadangkang siasatan dilakukan ke atas mereka.

Sehubungan itu Mahathir pada Selasa memfailkan saman pemula terhadap enam anggota RCI.

Mereka ialah Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choon Boon, K Pushpanathan dan Datuk Yusof Ismail.

Turut dinamakan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kabinet dan kerajaan sebagai defendan.

Mahathir memohon pengisytiharan bahawa laporan RCI tidak sah mengikut undang-undang dan tidak boleh diterima.

Ini kerana beliau mendakwa laporan itu tidak memasukkan semua kenyataan saksi atau keterangan mereka yang hadir termasuk permintaan bertulis atau lisan dalam bentuk transkrip atau rakaman video dan hujah yang dibuat oleh peguam.

Beliau juga memohon kos saman ditanggung oleh defendan, selain memberikan RCI tarikh akhir 8 Disember untuk memasukkan semua perkara itu dalam laporannya.

 

Lihat Komen
ADS