Perbicaraan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengketepikan saman oleh bekas pemimpin Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, kerana melanggar sumpah jawatan mereka mengenai 1MDB, telah ditetapkan pada 18 Januari ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K Pavani semasa pengurusan kes hari ini di kamarnya.

Khairuddin diwakili oleh peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar, yang mengesahkan tarikh pendengaran itu.

Peguam Yazid Mustaqim pula mewakili Najib dan Zahid.

Adalah dilaporkan dua bulan lalu bahawa perdana menteri dan timbalannya mendakwa bahawa saman Khairuddin itu tidak mempunyai alasan yang munasabah, remeh dan menyalahguna proses mahkamah.

Najib dan Zahid juga mempersoalkan sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa menentukan pelanggaran sumpah jawatan berdasarkan Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan selain turut mempersoal sama ada Khairuddin mempunyai lokus standi untuk memfailkan saman itu.

Walau bagaimanapun, Pavani enggan membenarkan penangguhan itu.

September lalu, Khairuddin dilaporkan memfailkan saman ke atas perdana menteri dan timbalannya atas dakwaan melanggar sumpah perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam mengelirukan rakyat berkenaan.

Beliau memohon pengiktirafan mahkamah bahawa Najib dan Zahid melanggar sumpah di bawah Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan maka tidak sesuai memegang jawatan masing-masing atau apa-apa jawatan dalam kabinet.

Khairuddin mendakwa dia mempunyai lokus standi untuk memfailkan saman itu memandangkan litigasi kes berkait dengan kepentingan orang ramai.

Khairuddin, dalam pernyataan tuntutannya pada Mac 2013, mendakwa, sejumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) dari 1MDB telah dimasukkan ke akaun Najib.

Bagaimanapun, perdana menteri mengatakan antara lain wang itu berasal daripada seorang penderma Arab.

Khairuddin mendakwa kenyataan Najib adalah palsu kerana wang berkenaan berasal dari Tanore Corporation Finance, sebuah syarikat yang dikendalikan oleh Low Thaek Jho, yang merupakan rakan Najib.

Mengenai timbalan perdana menteri, Khairuddin mendakwa Zahid telah memberitahu Dewan Rakyat pada Ogos 2015, bahawa beliau telah bertemu penderma atau penderma Arab berkenaan mengenai jumlah wang yang terlibat, dan oleh itu telah mengelirukan dewan dan rakyat Malaysia.

[Baca berita penuh]