Kerajaan usaha bebaskan dua akauntan Msia
Malaysia akan mengambil semua langkah perlu bagi membebaskan dua akauntan Malaysia yang kini ditahan polis di Sulawesi, Indonesia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Malaysia akan mengambil semua langkah perlu bagi membebaskan dua akauntan Malaysia yang kini ditahan polis di Sulawesi, Indonesia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Beliau berkata, ia termasuk membenarkan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mahamad Zain, berhubung dengan kerajaan Indonesia untuk membincangkan kemungkinan membebaskan dua akauntan berkenaan - Choo Yao Chin, 24, dan Raimala Sivalingam, 29.
"Kita sudah membincangkan dengan duta besar kita di Indonesia dan beliau setuju untuk berhubung dengan kerajaan Indonesia (untuk membincangkan kemungkinan membebaskan dua rakyat Malaysia itu).
"Langkah pertama ialah mendapatkan ikat jamin untuk mereka. Kemudian kita akan melihat langkah berikutnya," kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Kebangsaan keempat di Kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.
Najib diminta mengulas laporan akhbar mengenai penahanan dua akauntan berkenaan yang bekerja dengan KPMG, oleh polis walaupun pejabat Pendakwa Raya Jakarta menyifatkannya sebagai tidak sah.
Salah faham
Menurut Bernama, Choo dan Raimala dilaporkan ditahan pada 27 Julai selepas 20 hari tiba di Sulawesi untuk menjalankan kajian terperinci ke atas sebuah syarikat perlombongan PT International Nickel Indonesia, di Sorowako.
Menurut laporan, Choo ditahan bersama penjenayah tegar di pusat tahanan polis di Makassar manakala Raimala ditahan di sebuah hospital di sana kerana tidak ada penjara wanita di situ.
Najib berkata, kerajaan bimbang dengan nasib kedua-dua rakyat Malaysia itu yang difahamkan ditahan bersama penjenayah tegar di lokap polis.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau percaya masalah itu berbangkit kerana pemahaman yang terhad mengenai undang-undang pekerja di sana.
"Mereka ditahan kerana bekerja menggunakan visa. Mereka anggap ia boleh, dan mereka terus bekerja.
Mereka tidak bermaksud untuk melanggar undang-undang. Mereka anggap ia boleh dilakukan. Ia mungkin salah faham," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.