Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menghubungi badan seumpamanya di Thailand untuk mendapatkan jawaban mengenai kubur massa di Wang Kelian.

Langkah itu diambil selepas usaha mendapatkan maklumat mengenainya dari pihak berkuasa Malaysia menemui jalan buntu.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Suhakam berkata badan itu menjalankan siasatan berkaitan tragedi berkenaan sejurus selepas penemuan kubur mangsa pemerdagangan manusia itu dilaporkan pada 2015.

Kata Suhakam mereka menemu bual mangsa yang terselamat dari kem maut itu - kebanyakannya etnik Rohingya - yang ditempatkan di Alor Setar, Kedah dan Bagan Ajam, Pulau Pinang.

Suhakam juga, katanya, menjalankan temu bual bersama pegawai polis yang menyiasat isu berkenaan, serta wakil rakyat Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Bagaimanapun, kata suruhanjaya itu, siasatan yang dijalankan mengambil masa lebih lama dari jangkaan awal kerana mereka suar mendapatkan maklumat daripada agensi penguat kuasa, terutama polis.

"Ekoran kelewatan siasatan jenayah yang kaki percaya boleh lebih membahayakan nyawa serta kebajikan lebih ramai mangsa pemerdagangan manusia di negara ini Suhakam sudah menghubungi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand bagi mendapatkan kerjasama.

"Suhakam juga meminta maklumat mengenai siasatan berkenaan daripada Kementerian Dalam Negeri dan tiada jawaban diterima.

"Tiada maklumat mengenai perkembangan yang dibuat dalam siasatan itu dibekalkan kepada Suhakam setakat ini," kata kenyataan terbabit.

Di sebalik kekangan dan banyak kesulitan dihadapi, Suhakam berkata, mereka meyakinkan orang awam bahawa tiada aspek berkaitan kes ini akan diabaikan.

Suhakam juga, kata kenyataan terbabit, akan sedaya upaya menyiasat insiden itu sedalam-dalamnya.

Dapatan daripada siasatan itu nanti kata Suhakam akan didedahkan kepada umum serta pihak berkuasa.

Pada masa sama badan hak asasi manusia itu menyatakan kebimbangan terhadap kekurangan perkembangan dalam siasatan jenayah dalam tragedi itu boleh menyebabkan pihak yang bertanggungjawab terlepas daripada hukuman.

"Kami menggesa pihak berkuasa memastikan siasatan berterusan dijalankan oleh pegawai yang berkebolehan kerana kegagalan kerajaan tidak boleh dilihat turut berkongsi tanggungjawab atas pengabaian tragedi terbabit," katanya.

[Baca berita penuh]