Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahfuz cabar Najib tetapkan tarikh PRU-14 lebih awal
Diterbitkan:  Dec 22, 2017 11:43 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Rakyat dan tarikh pengundian selewat-lewatnya pada hari pertama Januari tahun depan.

Katanya, pengumuman awal tarikh pembubaran dan tarikh mengundi penting supaya rakyat dapat membuat persediaan dan tidak terlepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Najib Razak tidak perlu takut menghadapi 'hari perhitungan' dari rakyat dan jangan sengaja mahu menyusahkan rakyat.

“Sepatutnya sistem pilihan raya di Malaysia seharusnya lebih berani dan demokratik dengan menjadualkan lebih awal tarikh pembubaran Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut pemimpin PAS itu, pengumuman awal sangat penting untuk memudahkan penjadualan pergerakan percutian rakyat seperti masyrakat Cina yang akan menyambut tahun baru dan umat Islam yang mahu mengerjakan ibadah umrah.

“Saranan ini bagi mengelak beban kos berganda sekiranya rakyat sedang bercuti dan perlu pulang membuang undi di kampung asal serta untuk mengelak pengundi Islam terlepas peluang pengundian sekiranya jadual umrah bersamaan dengan tarikh pengundian PRU-14,” katanya.

Mahfuz berkata, sistem pilihan raya di Malaysia sepatutnya lebih berani dan demokratik dengan menjadualkan lebih awal tarikh pembubaran Parlimen.

“Permasalahan sekarang ialah apakah PM Najib Razak akan menunggu sehingga penghujung tempoh penggal atau akan membubarkan lebih awal,” katanya.

PRU-14 mesti dilaksanakan pada tahun 2018 memandangkan Dewan Rakyat akan terbubar dengan sendiri pada 24 Jun 2018.

“Apa yang penting ialah bukan sahaja persiapan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan pihak keselamatan sahaja diperlukan tetapi rakyat juga memerlukan persiapan untuk menghadapi PRU-14.

“Persiapan rakyat khususnya pengundi berdaftar untuk memastikan mereka tidak terlepas peluang mengambil bahagian pada pengundian nanti bagi menentukan arah tuju masa depan negara dan rakyat,” katanya.

Lihat Komen
ADS