Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hadi tak hadir himpunan Putrajaya, berkhutbah di Marang

Hasrat penganjur dan hadirin Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Putrajaya hari ini untuk melihat Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepentas sekali lagi tidak kesampaian, apabila presiden PAS itu tidak hadir.

Sebaliknya PAS diwakili ketua pemuda yang juga anaknya, Mohd Khalil Abdul Hadi.

Khalil yang ditemui pemberita selepas sesi ucapan pimpinan utama tidak memberikan jawapan jelas berhubung ketidakhadiran Abdul Hadi di himpunan itu.

"InsyaAllah beliau akan hadir dalam program akan datang. saya percaya akan ada lagi program akan datang," katanya (gambar) ketika ditanya pemberita.

Menyifatkan perjuangan Palestin sudah menjadi 'darah daging' Abdul Hadi, Mohd Khalil berkata bapanya pasti akan menyertai program seumpama itu pada masa akan datang.

“Berdasarkan pendirian beliau sejak daripada dulu tentang isu palestin, ini bukan kali pertama untuk memastikan rakyat Malaysia, kerajaan bersama-sama dalam isu Palestin,” katanya.

Ketika mengumumkan penganjuran himpunan itu Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bakal menggabungkan Najib dan Hadi atas satu pentas sama, serta masing-masing akan memberikan ucapan.

Sebelum ini, kedua-dua pemimpin itu pernah sepentas dalam himpunan Solidariti Ummah Rohingya pada Disember 2016, bagi membantah penindasan kerajaan Myanmar terhadap etnik itu.

Begitu juga dengan timbalan Abdul Hadi, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang bersama-sama Najib dan pemimpin kerajaan lain ketika pelancaran misi 'Food Flotilla for Myanmar' di Pelabuhan Klang Februari lalu.

Khutbah di Marang

Walaupun Mohd Khalil tidak menjawab secara jelas ketika ditanya sama ada Abdul Hadi berhadapan masalah kesihatan, ia nampaknya bukanlah punca ketidakhadiran apabila naib ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia dilihat menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, Marang.

Khutbah tersebut disiarkan secara langsung di laman Facebook Terengganu Kini.

Khutbahnya antara lain menyentuh undian resolusi Perhimpunan Agung PBB menggesa Washington menggugurkan keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, semalam.

"128 negara tolak pengisytiharan Amerika Syarikat...Walaupun (resolusi) mendapat sokongan lebih dua pertiga negara anggota, masih ramai yang menganggap Yahudi ada hak ke atas Baitulmaqdis dan Palestin," katanya.

Beliau sekali lagi mengecam negara majoriti Muslim, khususnya "negara yang berjiran" dengan Palestin, yang tidak berbuat apa-apa dan berkata mereka akan "kecewa di dunia dan akhirat".

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak kelihatan ketika himpunan berlangsung, walaupun hadir ke Masjid Putra tengah hari tadi untuk bersembahyang Jumaat.

Lihat Komen
ADS