Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M tiba di himpunan solidariti Palestin di Putrajaya

Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sebelum ini belum pasti akan hadir ke Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis anjuran kerajaan, tiba di Masjid Putra sebentar tadi bagi menyertai acara itu.

Bekas perdana menteri itu tiba kira-kira jam 12.55 tengah hari dan serta-merta disambut hadirin yang ingin bersalaman dengannya.

Sebelum sembahyang Jumaat, sebuah forum turut diadakan di dalam masjid bagi membincangkan isu tersebut yang tercetus selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel yang baru.

Antara ahli politik yang dilihat hadir adalah pemimpin Umno seperti Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Datuk Puad Zarkashi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan resolusi Malaysi berhubung isu itu dalam ucapannya selepas sembahyang Jumaat nanti.

Sementara itu, PAS diwakili oleh ketua pemudanya Khalil Abdul Hadi.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pada mulanya dijadual hadir tidak membuat penampilan kerana beliau dilaporkan menyampaikan khutbah solat Jumaat di sebuah masjid di Marang, Terengganu.

Di kalangan pemimpin Pakatan Harapan, turut kelihatan adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Mohd Yunus.

Selepas solat Jumaat dan solat hajat selamatkan Palestine, kira-kira jam 2.15 petang, Najib kemudiannya menyertai kira-kira 10,000 orang dalam Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra.

Beliau kelihatan bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyertai ribuan masyarakat yang terdiri daripada latar politik, agama dan kaum berbeza yang membantah tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

 
Lihat Komen
ADS