GLOBAL | Afrika Selatan memang bukan sebuah negara Islam namun demi Palestin, Pretoria dilaporkan mengubah status diplomatik mereka dengan Israel ke tahap paling rendah.

Keputusan itu diambil Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) - yang membentuk kerajaan di Afrika Selatan - dalam perhimpunan agung mereka di Gauteng pada 20 Dis lalu.

Portal berita IOL melaporkan Afrika Selatan hanya akan menempatkan beberapa kakitangan saja di bangunan kedutaan mereka di Tel Aviv.

"Pendirian berkenaan diambil sebagai satu tanda sokongan terhadap rakyat Palestin," lapor portal terbabit.

Afrika Selatan adalah sebuah negara yang terletak di bahagian bawah benua Afrika dan didiami kira-kira 55 juta orang.

Walaupun mengamalkan sistem demokrasi, negara itu pernah diperintah mengikut dasar aparteid sejak 1948.

Melalui dasar itu masyarakat kulit putih dianggap mulia dan menikmati segala keistimewaan walaupun jumlah mereka adalah minoriti berbanding kulit hitam.

Dasar itu mula berubah sedikit pada 1990 dan pengharaman ANC ditarik balik.

Pejuang hak asasi manusia terkemuka, Nelson Mandela, juga dibebaskan daripada penjara selepas ditahan selama 27 tahun atas tuduhan sabotaj.

Dasar itu kemudian terhapus dengan kemenangan ANC dalam pilihan raya umum 1994.

Hamas hargai sokongan

Secara bandingan, layanan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin yang menuntut hak serta wilayah yang dijajah Israel adalah hampir sama saja dengan dasar aparteid di Afrika Selatan.

ANC mengadakan persidangan tahunan ke-54 pada Julai lalu dan perwakilan memberi dua pilihan buat kerajaan, iaitu menutup kedutaan di Tel Aviv atau menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Israel.

Perwakilan kemudian mengadakan sidang kali kedua tahun ini - pada 16 hingga 20 Dis - dan membuat ketetapan mengambil pilihan kedua.

Sementara itu pertubuhan Hamas menyambut baik keputusan kerajaan Afrika Selatan itu.

"Kami amat menghargai keputusan ANC yang menunjukkan kebersamaan mereka dengan mewakili jutaan rakyat Afrika Selatan demi perjuangan Palestina," kata kenyataan dikeluarkan Hamas.

Awal pagi tadi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meluluskan usul mengutuk Rumah Putih kerana mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Afrika Selatan adalah salah sebuah negara yang menyokong usul berkenaan.

Usul berkenaan ditolak sembilan negara, termasuk AS dan Israel sendiri.

Togo menjadi negara tunggal dari benua Afrika yang bersama-sama AS serta Israel.