Lelaki dipenjara 7 bulan ugut bunuh, tunjuk kemaluan pada majikan
Mahkamah Majistretdi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan ke atas seorang pemandu pelancong yang gagal membayar denda RM5,000 bagi kesalahan mengugut bunuh dan menunjukkan kemaluan kepada majikan wanitanya.
Majistret Mahyudin Mohmad Som mengenakan denda RM2,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan mengugut terhadap S. Prakash, 51, selain denda RM3,000 atau empat bulan penjara kerana menunjukkan kemaluannya.
Lelaki itu didakwa mengugut wanita berumur 29 tahun itu dengan melakukan ugutan jenayah hendak menyebabkan kematian serta mengugut akan mencari dan mengapa-apakan wanita itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau keduanya-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh mahu mengaibkan kehormatan mangsa sama dengan menunjukkan kemaluannya mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di bilik asrama di Hotel Buddys, Jalan Sultan Ismail di ibunegara pada jam 6 pagi 20 Disember lepas.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dan meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan tetapi Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
- Bernama

