Ganja 520kg tak sempat masuk Malaysia
Polis Thai menahan tiga lelaki dan merampas 520kg ganja dianggarkan bernilai 8 juta Baht (RM1 juta) yang cuba dihantar ke Hatyai sebelum diseludup ke Malaysia.
Ketua Biro Pencegahan Narkotik Wilayah ke-6 Kol Sompong Suwawong berkata dadah tersebut ditemui dalam muatan sebuah lori pada satu sekatan jalan raya di Songkla kira-kira 2 pagi (waktu tempatan).
Beliau berkata lori terbabit dari Udon Thani dan sedang menuju ke Hatyai untuk menghantar muatan ganja tersebut.
“Lori tersebut ditahan hasil maklumat risikan.
"Ganja itu dipercayai sepatutnya diserahkan kepada rangkaian pengedar dadah selatan Thai di Hatyai untuk diseludup ke Malaysia,” katanya kepada pemberita di Songkla hari ini.
Menurut Sompong tiga lelaki yang ditahan itu membabitkan pemilik lori berkenaan (berusia 45 tahun) pemandu (24 tahun) serta pembantunya (31 tahun).
- Bernama

