Thailand perkenal pengajian Islam dalam sistem persekolahannya
Kerajaan Thai akan memperkenalkan pengajian Islam dalam sistem persekolahan awam bagi mengurangkan rasa curiga antara kerajaan dengan golongan muda yang mengikuti pengajian di Asia Barat.
Kerajaan Thai akan memperkenalkan pengajian Islam dalam sistem persekolahan awam bagi mengurangkan rasa curiga antara kerajaan dengan golongan muda yang mengikuti pengajian di Asia Barat.
Berikutan itu, Thailand sedang merancang untuk menawarkan tugas sebagai tenaga pengajar kepada belia Islam yang tamat pengajian dari Asia Barat.
Akhbar Bangkok Post memetik Menteri Pelajaran Chaturon Chaisaeng sebagai berkata siswazah berkenaan akan ditempatkan di sekolah kerajaan di wilayah selatan yang dilanda pergolakan.
Pada masa ini, siswazah dari Asia Barat tidak boleh mendapat pekerjaan di sektor awam memandangkan ijazah mereka tidak diiktiraf oleh kerajaan.
Menteri itu berkata siswazah terbabit akan diberikan latihan antara enam bulan dan setahun oleh pemimpin agama tempatan sebelum diserapkan ke dalam sistem pendidikan.
Menangi hati penduduk
"Langkah ini sejajar dengan dasar kerajaan mengambil rakyat Thailand yang mempunyai pengetahuan khusus berkaitan agama dan sebagainya untuk bekerja dalam sektor kerajaan," katanya.
Chaturon berkata, siswazah berkenaan juga berkemungkinan mengajar bahasa Melayu atau dailek setempat yang lain kepada etnik beragama Islam itu.
Menurut laporan Bernama, sejak beberapa bulan lalu, kerajaan Thailand pimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, memperkenalkan langkah untuk memenangi hati serta minda penduduk Islam di wilayah selatan iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani.
Keganasan yang dicetuskan sejak 20 bulan lalu, telah mengorbankan lebih 1,000 orang di wilayah selatan, di mana lebih 80 peratus penduduknya beragama Islam.
Sebahagian besar siswazah Asia Barat berasal dari kira-kira 150 sekolah Islam persendirian di Thailand, kebanyakannya terletak di selatan dan "pondok" yang dikendalikan oleh guru agama.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.