Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MARA untung A$6.5j jual bangunan di Melbourne
Diterbitkan:  Dec 23, 2017 6:01 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Sebuah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dijangka membuat keuntungan A$6.5 juta dengan menjual hartanah miliknya di Australia yang didakwa dibeli pada harga lebih tinggi berbanding harga pasaran sebelum ini.

Bernama malam tadi melaporkan, Mara Inc sudah memuktamadkan penjualan hartanah terletak di 333 Exhibition Street di Melbourne pada harga A$37.5 juta (RM118 juta).

Bangunan pejabat enam tingkat itu dibeli Mara Inc pada 2013 dengan harga A$31 juta (RM97.57 juta) mengikut kadar tukaran mata wang semasa.

Pada akhir 2013 A$31 juta bernilai RM89.9 juta.

Bangunan itu adalah satu daripada empat hartanah dibeli Mara Inc di Melbourne antara 2012 dan 2013 pada harga yang didakwa lebih mahal daripada sepatutnya.

Pengarah Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW), Akmal Nasir, mendakwa ketika bangunan 333 Exhibition Street itu dibeli harga pasaran untuk hartanah itu ialah hanya A$22 juta.

Pada Januari lalu Mara Inc menjual satu lagi bangunan miliknya di 51, Queen Street dengan harga A$23.4 juta.

Ia asalnya dibeli pada 2013 dengan harga A$21 juta. Akmal mendakwa harga itu A$5.35 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Dalam laporan Malaysiakini bulan lalu mendedahkan bagaimana Mara kerugian RM60 juta hasil pembelian bangunan Unilodge pada harga A$41.8 juta.

Sebuah syarikat luar pantai, Thrushcross Ltd, membeli bangunan Unilodge itu pada harga A$23.5 juta sebelum dijual kepada Mara Inc kemudiannya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS