Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman sivil boleh tentukan Felda serius atau tidak

ULASAN | Kleptokrasi yang mentadbir negara hari ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan berbilion ringgit wang rakyat, malah hartanah dan aset bernilai.

Terkini muncul skandal korupsi yang mengemparkan negara dan didakwa melibatkan pengurusan Felda. Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan bahawa agensi itu kehilangan tanah di lokasi strategik bernilai RM270 juta di Jalan Semarak Kuala Lumpur melalui satu transaksi yang meragukan.

Tanah tersebut yang sepatutnya dibangunkan oleh anak syarikat Felda Investment Corp Sdn Bhd (FIC) iaitu ENCORP Bhd untuk manfaat peneroka kini telah hilang daripada pemilikan Felda.

Laporan yang disiarkan hampir keseluruhan media mendakwa Shahrir juga tidak mengetahui bagaimana penukaran hak milik tanah tersebut boleh berlaku, dan Felda juga tidak memperolehi sebarang duit daripada pindah milik tanah tersebut.

Syarikat yang dilantik FIC iaitu Synergy Promenade Sdn Bhd yang memperolehi surat kuasa wakil (power of attorney) daripada Felda didakwa menjual tanah tersebut kepada sebuah syarikat proksi Promenade iaitu Kuala Kumpur Vertical City Sdn Bhd untuk dibangunkan sebagai Kuala Kumpur Vertical City (KLVC) dan perlakuan ini didakwa dilakukan secara fraud (penipuan).

Transaksi ini didakwa berlaku dalam tempoh Tan Sri Isa Samad menjadi pengerusi Felda dan pada masa sama pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) serta Pengerusi FIC.

Adalah sangat mustahil transaksi pindah milik fraud ini tidak diketahui oleh Isa.

Menelusuri fakta ringkas transaksi pindah milik tanah tersebut, Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (KANUN) berpendapat Felda - sebagai pemilik asal tanah tersebut - masih mempunyai hak benefesial untuk menuntut dan mendapatkan kembali tanah tersebut melalui saman sivil di mahkamah.

Ada terma tertentu

Seksyen 340(2) Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa sebarang pindah milik hartanah yang dibuat secara fraud adalah batal dan tidak sah.

Walaupun syarikat proksi Promenade didakwa membelinya, namun syarikat tersebut tidak boleh bergantung kepada prinsip "pembeli niat baik" (bona fide purchaser) kerana mereka ialah proksi kepada Promenade yang terlibat dengan fraud dan sudah pasti perkara ini dalam pengetahuan mereka.

Fraud sebenar jelas kelihatan kerana FIC dan Promenade menyalahgunakan kuasa bagi memperolehi tanah tersebut melalui surat kuasa wakil tersebut.

Surat kuasa wakil mempunyai terma-terma tertentu dan jika ia mempunyai terma kuasa pindah milik dan bukan sekadar kuasa pembangunan sahaja, sudah pasti elemen fraud wujud.

Mana mungkin pemilik tanah memberikan kuasa pindah milik tanpa sebarang balasan duit dan jika ia tidak wujud, surat kuasa wakil tersebut sendiri tidak sah.

Selain itu, syarikat proksi tersebut bukanlah tergolong dalam deferred purchaser yang membolehkan mereka dilindungi undang-undang sebagai bona fide purchaser.

Beri hak yang lebih

Syarikat proksi itu ialah immediate purchaser yang tidak layak di bawah undang-undang dipanggil bona fide purchaser dan mereka memperolehi hak milik ke atas tanah tersebut secara langsung daripada FIC melalui transaksi fraud.

Prinsip undang-undang terkini telah digariskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Tan Ying Hong melawan Tan Sian San pada 2010 yang mengatasi kes kontroversi Adorna Properties lawan Boonsom Boonyanit dalam mentafsir peruntukan Seksyen 340 Kanun Tanah Negara.

Undang-undang kini memberikan hak yang lebih kepada pemilik asal hartanah yang ditipu.

Di samping itu, KANUN juga berpendapat Felda perlu memfailkan injunksi relif dengan segera bagi memberhentikan segala pembangunan di atas tanah tersebut oleh kontraktor KLVC supaya syarikat proksi terbabit tidak mendapat faedah lanjutan.

Tindakan ini juga menunjukkan Felda benar-benar serius mendapatkan kembali aset mewah milik jutaan warga Felda itu.

Kenakan tindakan disiplin

KANUN juga menegaskan bahawa saman sivil itu tidak membataskan kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk menyiasat individu-individu yang terbabit - terutama Isa - untuk menentukan sama ada wujud perlakuan rasuah, pecah amanah dan penipuan yang menjadi kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan Akta SPRM

SPRM dan polis tidak boleh membiarkan skandal mencuri duit dan aset rakyat ini berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan seperti apa yang menimpa pada skandal mega 1MDB.

Menegakkan keluhuran undang-undang adalah tugas asasi SPRM dan polis.

KANUN juga menggesa Felda mengambil tindakan disiplin dan undang-undang terhadap pegawainya yang terlibat dengan transaksi pindah milik tanah strategik itu, serta institusi luar yang terlibat jika gagal memberikan nasihat secara diligent.

KANUN juga menggesa kerajaan mengambil langkah drastik menyelamatkan tanah milik sah Felda itu dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan mengeluarkan arahan berhenti kerja terhadap syarikat kontraktor terbabit di atas tanah tersebut.

Kehilangan tanah strategik yang mempunyai nilai komersil mewah itu tidak seharusnya dilepaskan kepada mereka yang rakus meratah hasil negara tanpa mempedulikan nasib peneroka Felda.

Keuntungan pembangunan tanah ini seharusnya dimanfaatkan kepada peneroka untuk membantu mereka dalam sektor pendidikan dan rumah generasi kedua.

Apatah lagi nilai semasa tanah strategik itu mencecah lebih RM1 bilion. Skandal ini menambah derita peneroka Felda yang sudah berhutang dan menanggug rugi puluhan ribu ringgit akibat skandal FGV.

Peneroka Felda menjadi mangsa kepada kegelojohan kroni penguasa di Putrajaya sehingga terpaksa menanggung kehilangan aset dan bebanan hutang yang bertimpa-timpa.


FAIZ FADZIL ialah timbalan ketua Pemuda AMANAH, peguam dan anggota KANUN.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS