Terjemahan Pengusaha hotel dari Singapura, Ong Beng Seng merancang untuk membina hotel Four Seasons berharga RM999 juta dan kompleks pangsapure di Kuala Lumpur, melalui kerjasama dengan seorang sultan di Malaysia.

Menurut para pegawai, syarikat Venus Assets milik Ong sedang memohon kebenaran untuk membina hotel mewah tersebut di kawasan seluas 2.6 hektar bersebelahan Menara Berkembar, bangunan kedua tertinggi di dunia, kata pengarah eksekutifnya SA Raju.

Ong dan rakan perniagaannya akan memegang 65 peratus ekuiti dalam projek tersebut, manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, akan memegang 15 hingga 20 peratus, kata Raju kepada AFP.

Walaupun harganya belum ditetapkan lagi, tetapi setiap unit dianggarkan berharga "lebih RM1,000 satu kaki persegi", katanya sambil menjangka ia akan mendapat permintaan menggalakkan kerana terletak di kawasan penting.

Projek mewah itu akan membabitkan pembinaan bangunan 70 tingkat yang lengkap dengan ciri-ciri seperti lif peribadi bagi setiap unit, pandangan Menara Kembar dan keselamatan yang ketat, katanya.

Beli tanah RM90 juta

Bangunan tersebut akan mempunyai 2.35 juta kaki persegi keluasan keseluruhannya, dengan pusat membeli-belahnya disambung kepada Menara Berkembar.

Raju berkata, Venus Assets telah membeli tanah tersebut pada tahun 2003 pada harga RM90 juta atau RM785 sekaki persegi.

Ini merupakan hotel keenam Ong, yang menguasai Hotel Properties Ltd, sebuah syarikat tersenarai di Singapura. Lima hotel lagi ialah di London, Maldives, Singapura dan dua di Bali.

Pada masa ini, syarikat Ong sedang mengendalikan pembinaan Hotel Hard Rock di pantai Port Dickson yang ketiga miliknya selepas Bali dan Pattaya di Thailand. Ong juga memiliki ksemua Hard Rock Cafes di Timur Jauh.

Ibu Negara Malaysia kini sedang melalui pembangunan aktif hartanah sejak krisis kewangan tahun 1997, dengan harganya melonjak naik dan sekaligus menarik minat pembeli yang mencari keuntungan.

Dalam tempoh dua tahun lalu, harga kondominium telah meningkat dua kali ganda kepada lebih RM1,000 sekaki persegi.