Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Daroyah sambut baik jika 10 ADUN PAS sertai PKR
Diterbitkan:  Dec 25, 2017 9:29 AM
Dikemaskini: 2:10 AM

Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Dr Daroyah Alwi menyambut baik jika terdapat ADUN PAS di negeri ini yang ingin menyertai PKR.

ADUN Sementa itu mengalu-alukan perkara itu memandangkan PKR seboleh-bolehnya mahu mengelak pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

Beliau berkata demikian ketika mengulas khabar angin mengatakan 10 ADUN PAS di Selangor dijangka menyertai PKR.

“Memang semalam (kelmarin) Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad memberitahu dakwaan itu sebagai khabar angin dan hanya perang siber.

“Itu pendapat beliau saja, terserah. Namun jika ada yang berminat, kita tiada halangan dan menyambutnya dengan berlapang dada,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada perasmian Karnival Himpunan Anak Muda Smart Selangor 2017 di tapak skateboard Taman Seri Andalas, semalam.

Fokus pertandingan dua penjuru

Menurut Daroyah fokus PKR adalah pertandingan dua penjuru untuk menang PRU pada kali ini.

“Jika pertandingan tiga penjuru, ia bukan hanya memberi peluang kepada BN untuk menang bahkan boleh menyebabkan pengundi keliru untuk membuat pilihan pada hari pengundian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, PKR tetap bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru melalui strategi-strategi yang sudah dipersiapkan.

Kelmarin Iskandar yang juga exco Selangor mengulas laporan portal berita The Malaysian Insight yang mendakwa jentera pilihan raya PKR diminta bersedia mengurus gelombang kedua kemasukan pemimpin dan anggota PAS di negeri itu.

Memetik sumber yang tidak dinamakan laporan itu menyebut kemasukan ADUN PAS berkenaan akan berlaku menjelang PRU14 dan mereka dijangka bertanding menggunakan tiket PKR.

"Pada saya ia adalah khabar angin yang sengaja dicipta untuk mengganggu persiapan PAS Selangor menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka kurang dari tiga bulan dari sekarang.

"Ia juga adalah bertujuan untuk mewujudkan kegusaran di kalangan ahli agar mereka hilang tumpuan," kata Iskandar dalam satu kenyataan.

 

Lihat Komen
ADS