Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Puad: Ada 'mafia' dalam Felda?
Diterbitkan:  Dec 25, 2017 10:53 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencadangkan kerajaan menyenarai hitam pemaju projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) jika enggan memberi kerjasama bagi membantu menyerahkan semula tanah Felda yang didakwa bertukar milik.

Anggota Majlis tertinggi Umno itu juga menuntut supaya pemilik dan ahli lembaga pengarah dalam syarikat itu didedahkan.

"Saya terkejut bagaimana syarikat pemaju yang diberi kuasa wakil penuh (PA) boleh memindahkan hak milik tanah kepada milik syarikat tanpa pengetahuan Felda.

"Atau apakah wujud mafia dalam Felda yang turut bersubahat. Justeru Felda di bawah kepimpinan baru tidak ada pilihan lain untuk memulihkan keyakinan rakyat kepadanya kecuali mendapatkan semula hak milik tanah itu dengan apa cara sekalipun," katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Felda baru-baru ini didedahkan berisiko kehilangan hak ke atas tanah miliknya di Jalan Semarak Kuala Lumpur bernilai RM250 juta menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Penilai bebas menganggarkan harga pasaran tanah berkenaan kini mencecah RM1 bilion.

Tanah itu kini sedang dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek KLVC melibatkan tujuh menara - termasuk sebuah menara Felda, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan helipad.

Audit forensik dijangka siap Februari

Sementara itu Berita Harian melaporkan Jabatan Perdana Menteri mengarahkan audit forensik terhadap kes berkenaan disiapkan dalam tempoh sebulan bermula Januari depan.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata audit forensik terbabit akan dilaksanakan pasukan audit dari luar Felda seperti diarahkan perdana menteri.

"Jabatan Perdana Menteri yang akan membuat audit dan bukannya Felda. Tempohnya sebulan (bagi menyempurnakan audit berkenaan)," katanya dipetik berkata.

Selain audit forensik, Felda juga dilapor sedang dalam proses membatalkan surat kuasa (PA) yang dipercayai sudah disalahgunakan selain menukar kaveat persendirian kepada Kaveat Pendaftar dengan Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS