Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baitulmaqdis: Kristian turut bersolidariti, kata paderi

Walaupun tidak menyertai demonstrasi terbuka mengecam Amerika Syarikat dan Israel, penganut Kristian tetap menyokong dan bersimpati dengan umat Islam di Palestin dalam kemelut baru yang tercetus baru-baru ini.

Setiausaha Agung Majlis Gereja-gereja Malaysia Hermen Shastri berkata, penganut Kristian menunjukkan sokongan mereka di gereja masing-masing.

Beliau berkata, kebanyakan gereja mempunyai pendirian yang sama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Baitulmaqdis dan hak warga Palestin dan Israel untuk menjadikannya sebagai tanah air.

"Kota Vatican dan Majlis Gereja-gereja Dunia bersolidariti dalam isu yang melibatkan penganut Kristian di Israel dan Paelstin.

"Kebanyakan pemimpin agama Kristian, biskop dan sebagainya, adalah orang Palestin," katanya sambil menambah gereja turut mengadakan doa memohon keamanan dan keadilan di sana, selaras dengan resolusi PBB.

Hermen berkata demikian kepada pemberita dalam acara 'high-tea' tahunan sempena sambutan Krismas anjuran pertubuhan itu di Gereja Metro Tabernacle di Batu Caves, hari ini.

Dengan mengambil kira Baitulmaqdis sebagai tanah suci buat penganut Islam, Kristian dan Yahudi, Hermen berkata gereja berpandangan ia patut menjadi ibu kota bersama Palestin dan Israel, sama seperti pendirian PBB.

"Baitulmaqdis adalah tanah yang menjadi perhatian semua agama (samawi).

"Ia seharusnya menjadi kota keamanan, ibu kota yang dikongsi bersama," katanya lagi.

Paderi dari Seremban, George Harrison (gambar) pula menggesa semua pihak agar menggunakan kebijaksanaan dalam berhadapan isu ini.

"Kita perlu menggunakan kebijaksanaan kurniaan Tuhan dan ayat-ayat suci untuk mencari penyelesaian yang aman," katanya.

Justeru, katanya lagi, penyelesaian bagi konflik Palestin - Israel memerlukan kebijaksanaan dan "tindakan yang betul", yang pastinya lebih berkesan berbanding respons jangka pendek.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis Jumaat lalu berkata yang Malaysia tidak akan berhenti mempertahankan Palestin daripada Israel.

Sebelum itu pula, Umno dan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengadakan demonstrasi berhubung isu sama di luar kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Dalam undian di perhimpunan agung PBB Khamis lalu, 128 negara mengundi untuk menolak keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara baru Israel, manakala 9 negara menyokong dan 35 negara berkecuali.

Lihat Komen
ADS