Timbalan KPN mahu dapatkan hasil penyelidikan Kampung Medan
Terjemahan Pihak polis mahu mendapatkan hasil penyelidikan yang mendakwa bahawa kejadian serangan dekat Kampung Medan di Petaling Jaya Selatan pada bulan Mac 2001, dirancang dan dilakukan oleh orang luar.
Terjemahan Pihak polis mahu mendapatkan hasil penyelidikan yang mendakwa bahawa kejadian serangan dekat Kampung Medan di Petaling Jaya Selatan pada bulan Mac 2001, dirancang dan dilakukan oleh orang luar.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan berkata, hasil penyelidikan tersebut mesti dikaji, sebelum satu keputusan dibuat untuk menjalankan siasatan.
"Serahkan hasil penyelidikan itu pada saya. Saya mahu melihatnya. Saya perlu melihatnya sebelum membuat ulasan sama ada kita akan membuka kes atau tidak," katanya ketika dihubungi semalam.
"Jika penyelidiknya berkata serangan tersebut dirancang oleh orang luar, siapakah orang luar itu," soalnya.
Musa berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan S Nagarajan bahawa pergaduhan tersebut membabitkan "serangan terancang terhadap penduduk India dan (bukannya akibat daripada) pergaduhan antara geng sepertimana yang dinyatakan oleh pihak berkuasa dan media".
Serangan yang berlaku di sekitar Kampung Medan itu mengakibatkan enam orang terbunuh manakala 29 lagi cedera parah, majoritinya kaum India.
Ketika dihubungi hari ini, Nagarajan berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk menyerahkan hasil penyelidikannya itu kepada pihak polis.
"Dokumen itu terdapat di Perpustakaan UM, sesiapa sahaja boleh membacanya. Semuanya terdapat dalam tesis tersebut," katanya.
Bagaimanapun, Nagarajan berkata, beliau tidak mempunyai maklumat atau bukti lanjut mengenai penyerang tersebut, sambil menegaskan bahawa dakwaan itu adalah berdasarkan kepada wawancaranya dengan penduduk kampung tersebut dan sesetengah daripada mangsanya.
Salah strategi
"Bukan saya yang perlu menyatakan siapakah orang luar (yang mungkin terbabit) kerana saya tidak tahu siapa mereka. Terdapat dakwaan, tetapi ianya terpulang kepada pihak berkuasa yang cekap untuk melakukan siasatan," katanya.
Antara berapa perkara penting yang terkandung dalam tesis Nagarajah itu ialah hasil penyelidikannya yang mendapati serangan itu bukan berpunca daripada konflik antara kaum di kampung setinggan tersebut.
Menurut Nagarajah, perkara itu relevan berikutan strategi yang diambil oleh pihak berkuasa kemudiannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencegah berlaku 'konflik' pada masa depan dan menghapuskan apa yang mereka lihat sebagai punca kejadian tersebut.
Menurutnya, salah tanggapan itu menyebabkan kerajaan negeri percaya bahawa tindakan membasmikan kawasan setinggan dan memindahkan penduduknya ke rumah pangsa kos rendah, boleh mencegah berlakunya konflik seumpama itu.
Nagarajan berkata, beliau percaya, langkah tersebut akan memburukkan lagi ketegangan dan masalah sosial, kerana tidak wujud rangkaian sokongan kemasyarakatan di rumah pangsa kos rendah itu, sepertimana di perkampungan setinggan sebelumnya, di samping kos hidup yang tinggi.
"Saya tidak mengatakan yang pihak berkuasa dalam memindahkan penduduk setinggan ke rumah pangsa kos rendah turut memindahkan potensi konflik ke sana.
"Saya hanya mengatakan bahawa langkah mewujudkan satu situasi baru akan membawa kepada masalah sosial dan ketegangan. Anda telah merungkai satu rangkaian sokongan kemasyarakatan yang kompleks, yang menjadi mekanisme survival kepada para setinggan," tambahnya.
"Apabila penempatan masyarakat setinggan yang sudah stabil dipecahkan dan penduduknya dipindahkan ke rumah pangsa kos rendah, maka akan mewujudkan tempat yang berpotensi menimbulkan masalah," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.