Kastam Diraja Malaysia (KDRM) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dan mengenal pasti pegawainya yang membocorkan dokumen perbelanjaan satu majlis jabatan itu kepada media.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan) Datuk Wazir Muaz berkata, KDRM percaya ada pegawainya yang sengaja membocorkan dokumen berkenaan bagi merosakkan nama baik Ketua Pengarah Kastam Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib serta pegawai lain.

"Jawatankuasa itu akan dibentuk beberapa hari lagi, dianggotai tiga atau empat pegawai kanan KDRM yang akan mengambil masa sebulan untuk menyiapkan laporan mengenainya," kata Wazir kepada pemberita di luar Mesyuarat Pengarah Kastam Se-Malaysia di Langkawi hari ini.

Menurut laporan Bernama, selain mengenal pasti dalangnya, jawatankuasa itu akan turut menyiasat motif perbuatan membocorkan dokumen perbelanjaan bagi satu majlis yang akan diadakan di Negeri Sembilan itu.

"Adakah beliau berbuat demikian untuk menjatuhkan nama baik Abdul Halil, atau pegawai lain termasuk saya sendiri? Jadi, tugas jawatankuasa itu termasuk mengkaji motif membocorkan maklumat itu," katanya.

Wazir berkata, pegawai yang didapati melakukan kesalahan membocorkan maklumat itu dengan tujuan memburukkan nama Abdul Halil, jabatan atau lain-lain pegawai akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin untuk menghadapi tindakan disiplin.

"Saya fikir memang ada komplot menjatuhkan Abdul Halil dan mungkin menjatuhkan saya juga," katanya ketika diminta mengulas kontroversi berhubung isu perbelanjaan majlis persaraan Abdul Halil yang dikatakan lebih RM5 juta.