Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

BELASUNGKAWA l Apabila Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad mencatatkan di buku autobiografinya "Kepada sahabat lama yang sibuk di Pasar Yaakob" yang diberikan, saya terpegun kerana dalam keuzurannya masih mengingati suatu episod terpenting dalam permulaan kehidupan seorang kawan.

Catitan itu membuka lembaran sejarah hidup saya ketika memulakan karier kewartawanan di akhir tahun 50an sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di usia lebih 18 tahun kerana di Pasar Yaakob saya menyewa sebuah bilik kecil dengan bayaran lima ringgit sebulan untuk menjalankan tugas.

Di sinilah saya mula terdedah kepada kehidupan manusia yang berbagai dari remaja hingga ke tua, peniaga dan pengusaha Melayu kecil dan besar, pemimpin politik dan aktivis masyarakat serta rakan-rakan dari berbagai bidang pekerjaan terutama guru.

Pejabat kecil saya yang sentiasa terbuka pintunya menjadi tempat bertandang ramai orang yang mengenali saya termasuk Shahnon Ahmad seorang guru yang mulai menempa nama besar di alam sastera selain dari mereka yang bersemangat tinggi sebagai aktivis yang mahu menjadi pemimpin masa depan.

Syed Kechik yed Mohamed yang baru pulang dari belajar secara mengembara di Amerika Syarikat juga melepak di pejabat saya hampir setiap hari sebelum meninggalkan negara bagi kali kedua untuk belajar undang-undang di London kerana ijazah Amerikanya tidak diiktiraf.

Di sebalik kejayaannya dalam peranan politik dan ahli pernigaan, beliau mempunyai keperibadian bersih.

Syed Kechik banyak memberikan inspirasi kepada saya kerana kenekatan untuk belajar dan menjadi orang yang tersohor sejak sebelum merdeka. Beliau menjadi sahabat setia saya hingga ke akhir hayatnya.

Oleh kerana kedudukan Pasar Yaakob berhadapan dengan jalan raya di Jalan Tunku Ibrahim yang dihadapannya Pekan Rabu pusat perniagaan orang Melayu di Alor Setar, maka Pasar Yaakob menjadi pusat pertemuan ramai dengan di kedai buku, kedai gunting rambut, kedai kopi, kedai-kedai jahitan dan sebagainya.

Mereka terdiri darpada pegawai-pegawai kerajaan kebanyakannya guru-guru yang melepak di sebuah kedai buku atau dikedai jahit dan kedai penggunting rambut.

Disinilah juga terletak pejabat Azhari Taib Wakil Utusan Melayu Kedah Perlis sebelum saya mengambil tempatnya. Beliau juga adalah ADUN negeri Kedah.

Yang menceriakan kenangan hidup saya disini di hari tua ialah pendedahan kepada kehidupan remaja yang penuh dengan hiburan, kenakalan, keliaran, kelucuan, dan kecerian.

Disinilah saya mengenali kaki Hadyai, kaki minum, kaki hisap ganja, kaki judi, kaki ekor, kaki joget, rambong dan sebagainya. Saya bersyukur kerana dapat bergaul dengan mereka ini yang membantu membentuk pertimbangan dan sikap rasional dalam menilai kehidupan manusia.

Di hari tua bila menemui kawan-kawan ini yang telah pun menjadi "orang baik" kami ketawa bersama kerana setiap wajah yang insaf dan taubat mempunyai cerita yang tersendiri tetapi Shahnon tidak mampu lagi untuk ketawa dalam keuzurannya.

Amatlah kuat dan tepat ingatan Shahnon di usia 84 tahun bila mengatakan "Pasar Yaakob tempat saya sibuk" sesudah saya tidak menemuinya lebih dua puluh tahun. Masih cerah, kuat dan tajam ingatannya.

Di Pasar Yaakob bermulanya hubungan saya yang rapat dengan Shahnon. Beliau pernah menggunakan nama saya untuk sebuah cerpennya yang disiarkan oleh Berita Minggu.

Saya boleh mendakwa mengenali dan mengetahui Shahnon lebih rapat dan lebih mendalam dari orang lain.

Saya mengenali Shahnon yang biasa dan yang luar biasa di sebalik keterampilannya sebagai seorang Sasterawan Negara, sebagai anggota Al Arqam dan sebagai orang PAS yang akhirnya kembali kepada darah dagingnya sebagai seorang sasterawan.

Beliau mendahului ASamad Said dalam usaha untuk membetulkan dunia menerusi penulisan dan perjuangan politik tetapi akhirnya kecewa untuk membetulkan dunia dengan katanya "Aku sudah tidak punya tangan dan kuasa lagi untuk mengubah masyarakat dari yang mungkar kepada yang ma'aruf, aku tahu aku tidak punya lidah atau suara lagi untuk menjerit seperti dulu untuk mengembalikan kemanusiaan ke kefitrahannya yang usul."

Shahnon berkata sekarang "Aku di atas ranjang menunggu saat untuk berpindah ke alam lain bagi menunggu saat kebangkitan semula yang dijanjikan olehNya disana bersama arwah-arwah yang terdahulu' (halaman 182 Perjalananku Sejauh ini - Sebuah autobiografi - Shahnon Ahmad).

Buku ini dihadiahkan kepada saya ketika saya mengunjunginya bersama dengan Tan Sri Johan Jaafar dan seorang rakan bekas pegawai Utusan Rosle Azmi di rumah anaknya di Bangi, baru baru ini. Saya mencari alamatnya di Pulau Pinang tetapi Johan menemuinya sudah berpindah tinggal bersama anak lelakinya Asrol di Bangi.

Generasi sekarang tentu masih mengingati novelnya Ranjau Sepanjang Jalan yang juga telah difilemkan dan tidak lupa Shahnon menggemparkan pilihan raya 1999 dengan novelnya ‘Shit @PukiMak’.

Shahnon yang saya temui ini bukanlah Shahnon yang dulu lagi sebaliknya Shahnon yang telah melalui dua proses indoktrinasi politik dan keugamaan yang banyak mengubah fahaman dan cara berfikirnya yang membawa keinsafan kepadanya sebagai pernah berada dalam kesesatan sedangkan saya tetap berada di pihak yang tidak pernah melihat kebenaran dalam kedua pertubuhan ini.

Shahnon juga tidak menemui kebenaran tetapi melihat kejatian diri manusia dengan segala kelemahannya disebalik gambaran kehebatan imej mereka. Inilah kebenaran yang menginsafkannya.

Menurut isterinya, Kak Wan Fatimah dalam keuzuranya pun, Shahnon masih mencatitkan sesuatu di atas kertas ketika disorong di kerusi rodanya.

Beliau tidak boleh duduk lama di atas kerusi rodanya tanpa ditolak oleh isteri atau anaknya. Buku Perjalananku Sejauh Ini adalah sebahagian dari hasil tulisannya di atas kerusi roda.

Shahnon diserang penyakit saraf yang dikenali sebagai Myasthenia Gravis (MG) ketika masih menjadi wakil rakyat setelah menang dalam pilihanraya 1999. Penyakit ini membuatnya suka bersendirian dan lebih mendekati dirinya dengan Allah.

Dalam sakitnya yang panjang, keluar dan masuk hospital, beliau juga menemui bomoh tetapi akhirnya kembali kepada pakar perubatan yang menyembuhkannya.

Bezanya antara Shahnon dengan saya ialah beliau mengenali haiwan, iblis dan syaitan dalam kalangan manusia setelah menyertai politik tetapi sebagai wartawan saya telah berpeluang lebih dahulu mengenali haiwan dan syaitan dalam politik sebelum menyertai politik.

Kewartawanan mendedahkan saya lebih awal di sebalik keterampilan seseorang yang gagah dan dianggap bersih. Maka itu saya menjadi sinis di sebalik pengagungan manusia kepada seseorang pemimpin termasuk pemimpin agama.

Bagi Shahnon semasa dalam harakah PAS beliau banyak menangis dari ketawa, banyak berdukalara dari senyum gembira kerana langsung bersimpati dan kasihan belas terhadap insan-insan yang merupakan para pemimpin politik yang terlibat dalam berbagai kemaksiatan dan kemungkaran. Realiti ini juga menyebabkan beliau sakit.

"Sewaktu dalam harakah ini jugalah aku dapat membezakan antara kepimpinan yang sejati dengan pemimpin yang palsu. (Halaman 7 Perjalanan Ku Sejauh ini)"

Saya amat sedih mendapat berita kembalinya ke rahmatullah sahabat karib saya Shahnon Ahmad, sasterawan negara yang berjuang bersama saya sejak dari Alor Setar lebih 50 tahun dulu.

Saya sedih kerana mendapat berita ini semasa saya dalam perjalanan ke Pulau Pinang pada kira-ra jam 8 pagi semalam dan tidak dapat menziarahi jenazahnya.

Al-Fatihah.


TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS