Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelindan lori OKU cabul pelajar OKU, didenda RM7,000
Diterbitkan:  Dec 27, 2017 4:41 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang mempunyai rekod kesalahan lampau bagi kes cabul, hari ini didenda RM7,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur kerana mencabul seorang pelajar wanita OKU penglihatan, bulan lepas.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Azhar Abd Wahab, 50, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul kehormatan mangsa berusia 20 tahun itu.

Kelindan lori ais itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam lif di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Kuala Lumpur, antara pukul 1 dan 1.30 tengah hari , 8 Nov lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira mangsa merupakan pelajar OKU penglihatan rabun teruk dan penglihatannya samar-samar.

"Mangsa mengenali tertuduh kerana dia kerap datang ke kompleks berkenaan, saya mohon hukuman setimpal agar tertuduh tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang,” katanya.

Mohamad Azhar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan dia perlu menanggung isteri dan empat anak selain dia benar-benar insaf atas kesilapannya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS