Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gara-gara najis anjing, lelaki warga emas meninggal dunia
Diterbitkan:  Dec 28, 2017 6:23 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Hanya kerana najis anjing yang menjadi punca pertengkaran dan pergelutan kecil, seorang lelaki warga emas meninggal dunia di Taman Pekan Baru di Parit Buntar malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, Shee Hun Kong, 68, bertengkar dengan seorang lelaki berusia 52 tahun yang berang selepas haiwan peliharaan mangsa membuang najis di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata akibat pertengkaran itu mangsa ditampar di muka sebelum lelaki terbabit bertindak mencurahkan air paip kepada mangsa dan anjingnya.

"Mangsa kemudiannya rebah dan terbaring di hadapan rumah lelaki terbabit sebelum ditemui penduduk yang kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis kira-kira 1.30 pagi," katanya ketika ditemui hari ini.

Omar Bakhtiar berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat kegagalan saluran darah jantung.

“Selain itu, terdapat luka kecil di bahagian kepala dan lutut kiri mangsa dipercayai kesan daripada terjatuh,” katanya.

Menurut beliau, lelaki yang terlibat dalam pertengkaran dengan mangsa direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu isteri mangsa, Tan Poh Suan, 52, berkata suaminya sering membawa anjing peliharaan mereka keluar bersiar-siar pada waktu malam.

Tan berkata suaminya juga menghidap penyakit jantung dan darah tinggi namun tidak menjangka sama sekali kejadian itu menyebabkan suaminya meninggal dunia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS