Imigresen sedia laksana sistem dalam talian pengambilan amah
Tinggal empat hari untuk masuk ke tahun baru, Jabatan Imigresen menyatakan kesediaan untuk melaksanakan sistem pengambilan pembantu rumah asing (PRA) secara atas talian seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018.
Menurut pengarah Imigresen (pekerja asing) Khairul Khar Yahya (gambar), bakal majikan mempunyai dua pilihan untuk mengambil pembantu rumah mereka dari negara sumber yang diluluskan melalui sistem atas talian yang akan dilancarkan pada 1 Januari.
"Yang pertamanya, untuk kita melaksanakan sistem online ini, bakal PRA hendaklah sudah berada di Malaysia," kata Khairul dalam temu bual dengan radio Nationalfm pagi ini, yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebooknya.
Beliau menjelaskan majikan boleh secara peribadi pergi ke negara sumber untuk membawa masuk bakal pembantu rumah mereka dengan menggunakan pas lawatan sosial atau menunggu kedatangan mereka di lapangan terbang.
Dalam kedua-dua kes ini, majikan terlebih dahulu perlu mendaftarkan diri mereka dalam sistem atas talian untuk menerima ID dan kata laluan bagi membenarkan jabatan itu menyemak kelayakan mereka.
"Jadi kita perlu buat saringan ke atas pekerja dulu. Setelah saringan majikan, baru pula kita buat saringan ke atas pekerja.
"Dalam fasa pertama, majikan tadi masuk dalam maid online, di situ dia akan mohon untuk dapatkan ID dan password.
"Sistem kita akan membuat saringan terhadap majikan tadi, sama ada dia pernah mempunyai rekod-rekod bermasalah dalam imigresen," katanya sambil menambah kesalahan itu termasuk melarikan diri daripada majikan terdahulu tanpa sebab yang sah.
"Untuk program kali ini, kerajaan telah membenarkan mana-mana calon yang tinggal lebih masa bermula dari Jan 1 2017 hingga 31 Dec 2017 sahaja. (Dan) yang datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial. Jadi itu sahaja yang kita benarkan," katanya.

