Tukang gunting buat pemuda macam watak Three Stooges
GLOBAL | Tuah ayam kata orang boleh nampak di kaki, tapi malang manusia kadang-kadang kelihatan pada kepalanya.
Itu yang dialami seorang pemuda berusia 22 tahun ketika dia berkunjung ke sebuah kedai gunting di Madison, Wisconsin, AS pada 22 Dis lalu.
Ketika melangkah ke Ruby’s Salon itu dia langsung tidak menyangka nasibnya akan berubah dalam sekelip mata.
Permintaan pemuda terbabit cukup mudah. Dia meminta supaya bahagian sisi kepalanya digunting pendek menggunakan pemotong nombor 2, manakala di bahagian atas, potong kira-kira satu inci.
Fort Worth Star-Telegram melaporkan apa yang terjadi adalah malapetaka buat pemuda terbabit.
Mula-mula tukang gunting itu merungut pemuda berkenaan bergerak terlalu banyak dan terpaksa memulas telinganya supaya dia boleh diam.
Tukang gunting berusia 46 tahun itu kemudian didakwa terguntung telinga mangsa menyebabkan berlaku pendarahan, lapor Wisconsin State Journal.

Seterusnya pemuda itu mendakwa tukang gunting berkenaan menyebabkan tengah kepalanya hampir licin sama sekali.
Apabila diadukan kepada polis, pihak berkuasa kemudian menahan tukang gunting terbabit untuk disiasat.
Jurucakap polis Wisconsin berkata keadaan kepala pemuda berkenaan mengingatkannya kepada watak Larry Fine dalam siri The Three Stooges.
Katanya, polis tidak boleh mendakwa seseorang tukang gunting kerana gagal mengikut kehendak pelanggan, namun tindakan boleh diambil atas kesalahan menyebabkan kecederaan.
"Bagaimanapun tukang gunting itu menegaskan kejadian berkenaan suatu kejadian tidak disengajakan," katanya.
Sementara itu pemuda terbabit 'menyelamatkan' keadaan dengan berkunjung ke kedai gunting lain dan memotong semua rambutnya supaya sekata dengan keadaan di tengah kepalanya.

