Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kasihan Muhyiddin bukan calon PM pembangkang'
Diterbitkan:  Dec 29, 2017 10:11 PM
Dikemaskini: 2:17 PM

Pembantu Rosmah Mansor menyindir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika negara di ambang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

"Kasihan. Kasihan. Kasihan. Itulah perasaan yang saya ingin kongsikan apabila mengenang nasib bekas timbalan presiden Umno.

"Daripada menduduki kerusi TPM tak lama dahulu dan disebut-sebut untuk menjadi PM sekitar hujung tahun lalu, kini nama Muhyiddin terus lenyap begitu sahaja daripada senarai calon di kalangan pembangkang untuk jadi PM," kata Datuk Rizal Mansor dalam hantarannya di Facebook hari ini.

Rizal berkata hanya nama Tun Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut sebagai calon, manakala jawatan timbalan perdana menteri pula sudahpun disi oleh isteri Anwar atau parti lain dalam pakatan pembangkang.

"Kalau setakat nak jadi menteri kanan, tak berbaloilah tindakan Muhyiddin untuk menentang Datuk Seri Najib Razak kerana itu bukan janji Mahathir ketika Muhyiddin bersama menubuhkan parti bunga bersamanya dahulu.

"Buat rakyat, renung-renungkan lah nasib negara ini jika pembangkang mendapat undi anda pada PRU14, siapa nak jadi PM pun susah nak tentukan, apatah lagi nak uruskan negara," katanya lagi.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan kenyataan presiden BERSATU itu bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak ada pilihan dan mesti menamakan calon perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Muhyiddin berkata rakyat mahu tahu siapa yang akan mengetuai kerajaan sekiranya gabungan itu berkuasa kelak.

Muhyiddin juga berkata gabungan pembangkang itu sudah berjanji kepada rakyat mahu membentuk sebuah kerajaan yang lebih baik berbanding BN.

Lihat Komen
ADS