Remaja dilari lelaki menyamar polis ditemui selamat
Remaja berusia 16 tahun yang didakwa dilarikan seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis semalam ditemui selamat di Raub, semalam.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi ditemui pada 11.05 pagi semalam di sebuah stesen bas selepas dia menghubungi anggota keluarganya dan memaklumkan dia berada di bandar tersebut.
“Mangsa mendakwa telah menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Raub dan sejurus diambil di stesen bas berkenaan dia dibawa ke Hospital Raub dan Kuala Lipis untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi.
Wan Mohd Zahari berkata polis masih berusaha mengesan suspek yang dipercayai menyamar sebagai seorang sarjan yang baru bertugas di Balai Polis Sungai Ruan ketika melarikan mangsa.
"Kita harap masyarakat tidak membuat spekulasi atau andaian berhubung kes ini dan beri peluang kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang serta menyamar sebagai penjawat awam.
- Bernama


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.