Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membenarkan permohonan defendan untuk memindahkan kes saman pemula bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan PKM ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk prosiding selanjutnya.

Pesuruhjaya Kehakiman John Louis O'Hara memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan kos kausa, setelah mendengar hujah dari wakil plaintif dan defendan.

Keputusan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dibuat bagi memenuhi tujuan "forum conveniens" berikutan kesemua defendan bertugas dan menetap sama ada di Kuala Lumpur atau Putrajaya.

Darshan Singh Khaira, Leong Cheok Keng dan K.Y. Chong mewakili plaintif, Chin Peng @ Ong Boon Hua, 81, (yang menuntut untuk diri sendiri dan sebagai wakil semua pihak berkenaan) serta PKM.

Manakala Peguam Kanan Persekutuan Umi Kalthom Abdul Majid dan Azizah Nawawi mewakili empat defendan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Ketua Angkatan Tentera Malaysia dan Kerajaan Malaysia.

Menerusi saman pada Mac lalu, Chin Peng memohon suatu perintah supaya beliau dan pihak yang diwakilinya, diberikan keizinan memasuki negara ini dan supaya dokumen-dokumen keizinan dikeluarkan kepadanya dan bekas anggota PKM untuk memasuki Malaysia.

Beliau meminta supaya para defendan mematuhi semua syarat dan terma yang dipersetujui dan terkandung dalam dua perjanjian yang telah ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan PKM bertarikh 2 Disember 1989 di Haadyai, Thailand.

Perjanjian damai

Tujuan perjanjian itu adalah untuk menyelesaikan semua perkara dan mengampunkan mana-mana tindakan pelampauan dan membenarkan plaintif kembali dan berkediaman secara aman di Malaysia.

Terdahulu dalam hujahnya Umi Kalthom berkata, walaupun Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mempunyai bidangkuasa untuk mendengar saman pemula ini, soal "forum conveniens" tidak menamatkan isu mahkamah paling sesuai, mendengar sesuatu tindakan.

Menurut laporan Bernama, sehubungan itu beliau memohon mahkamah meneliti saman pemula dan semua afidavit yang menyokong saman ini untuk melihat di manakah tempat yang paling sesuai untuk tindakan ini.

Katanya, oleh kerana kesemua defendan bertugas dan menetap sama ada di Kuala Lumpur atau Putrajaya maka adalah wajar kes itu dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk memudahkan urusan.

Umi Kalthom berkata, saman pemula dan afidavit yang dikemukakan plaintif, bersandarkan kepada perjanjian antara kerajaan Malaysia dan PKM untuk menamatkan permusuhan pada 2 Disember 1989 di Thailand dan plaintif mengatakan keengganan defendan mematuhi perjanjian itu, mengakibatkan ketidakadilan kepada plaintif.

Menurutnya, jika perjanjian itu dilanggar, maka perbuatan melanggar perjanjian itu adalah di Kuala Lumpur ataupun Putrajaya.

Katanya, berdasarkan kepada satu lampiran bukti, plaintif ada membuat permohonan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya untuk kembali ke negara ini dan keputusan kerajaan ialah, tidak membenarkan Chin Peng pulang dan bermastautin di Malaysia.

Hujah balas

Sementara itu, dalam hujah balasnya, Darshan berkata, kes itu tidak perlu dipindahkan ke ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kerana ia bersandarkan kepada dua dokumen perjanjian yang termeterai antara kedua-dua pihak dan ia tidak memerlukan saksi langsung.

Beliau berkata, tiada sebarang harta terlibat dalam kes ini dan para defendan juga mempunyai pegawai dan pejabat mereka di Pulau Pinang.

Menurutnya, alasan untuk memindahkan kes ini ke Kuala Lumpur kerana ibu pejabat operasi para defendan berada di sana, juga tidak boleh diterima kerana ia akan bermakna semua kes yang melibatkan kerajaan kelak, mesti dipindahkan ke sana.

"Isu bidangkuasa dalam kes ini adalah sesuatu yang luar biasa dan belum pernah ditimbulkan sebelum ini. Keputusan yang akan dibuat ini adalah pertama kali dalam sejarah perundangan negara," katanya.

Darshan berkata, kelewatan mendengar kes ini juga akan menimbulkan prejudis kepada plaintif pertama kerana beliau telah berusia 81 tahun dan ingin kembali ke sisi keluarga dan menghabiskan sisa umurnya di kampung halamannya di Sitiawan, Perak.