Lambaian terakhir Ampang Park
Hanya beberapa jam sebelum para peniaga yang masih bertahan di Ampang Park menghabiskan apa sahaja barangan jualan mereka.
Dari pintu masuk sehinggalah ke tingkat atas, para peniaga cuba menarik perhatian pelanggan pada hari terakhir operasi pusat beli-belah itu dengan slogan 'jualan hari terakhir', 'semua mesti habis' serta 'datang dan beli'.
Tiada lagi keraguan, inilah hari terakhir buat pusat beli-belah paling tua di Kuala Lumpur dengan tanda-tanda iklan di pintu masuk berbunyi 'jualan penghabisan', 'diskaun besar' dan 'habiskan stok'.
Beberapa penyewa di situ sedia berpindah ke tempat baru, seperti pemilik gedung Bacarat Silk Muhammad Hafiz (gambar, bawah) yang mengadakan majlis jamuan perpisahan untuk semua pelanggannya di aras bawah Ampang Park.

"Saya sudah berniaga di sini 10 tahun. Bila saya mula berniaga, saya juga buat jamuan.
"Saya mahu masuk cara baik dan keluar juga dengan cara baik. Jadi hari ini saya mengadakan jamuan perpisahan Ampang Park," katanya.
Namun demikian, terdapat juga peniaga yang memiliki pandangan berbeza.
Ada yang beranggapan perobohan Ampang Park menandakan permulaan kepada suatu pengakhiran buat perniagaan mereka.
Pemilik kedai muzik Love Lane PM Ong memberitahu Malaysiakini beliau siap untuk bersara selepas berniaga di tempat yang sama selama 44 tahun.

"Kami akan tutup kedai untuk bersara. Kami tidak boleh lagi meneruskan perniagaan kerana kosnya sudah terlalu tinggi.
"Lagi pun hari ini, semua orang memuat turun muzik mereka dari internet jadi susah untuk orang membeli CD lagi," katanya.
Bagi para pelanggan, mereka bukan sahaja datang untuk jualan terakhir, ramai juga yang datang mengambil gambar Ampang Park dan berswafoto sama ada di dalam bangunan itu atau dari sudut pandangan lebih tinggi di jejambat berhampiran.
Bangunan ikonik Kuala Lumpur itu akan dirobohkan bagi membina laluan pejalan kaki bawah tanah dan stesen MRT Ampang Park setinggi lima tingkat yang bakal beroperasi dalam laluan baru MRT2.

