Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman hari ini meminta Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib supaya memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung satu kenyataan yang dibuatnya di Langkawi Ahad lalu.

"Jemaah Menteri pada hari ini memandang berat kenyataan Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib yang melibatkan YAB Timbalan Perdana Menteri.

"Sebagai seorang anggota Perkhidmatan Awam, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian yang menyamakan dirinya dengan Timbalan Perdana Menteri.

"Sehubungan ini saya telah meminta YBhg Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib (foto) memohon maaf kepada YAB Timbalan Perdana Menteri di atas kenyataan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bernama, beliau merujuk kepada kenyataan Abdul Halil yang disiarkan oleh akhbar "The Star" Isnin lalu.

Kenyataan tersebut menyebut antara lain: "Saya bermain golf menggunakan wang saya. Setiap orang mesti bayar dengan wang sendiri. Malahan, Timbalan Perdana Menteri datang ke sini untuk bermain golf. Kenapa tidak ada orang soal beliau?".

Samsudin berkata Abdul Halil mungkin mengeluarkan kenyataan itu sebagai menjawab soalan wartawan berhubung program riadah oleh beliau bersama para pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Langkawi pada hari berkenaan.

Pembabitan pihak luar

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan) Datuk Wazir Muaz berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penglibatan orang di luar jabatan itu dalam isu berkenaan, yang mempunyai motif menjatuhkan imej jabatan dan Abdul Halil.

"Jawatakuasa siasatan dalaman yang bakal ditubuhkan KDRM bagi menyiasat pegawai yang membocorkan dokumen kepada media, juga akan mengenal pasti sama ada wujud penglibatan orang luar, seperti peniaga yang tidak berpuashati dengan tindakan Kastam terhadap mereka," katanya di Langkawi hari ini.

Beliau berada di Langkawi bagi menghadiri mesyuarat Pengarah Kastam Se-Malaysia ke-51 di sini selama dua hari yang berakhir semalam.

Wazir berkata sekiranya terbukti wujud penglibatan orang luar itu, pihaknya akan membuat laporan kepada polis kerana pihak itu telah membuat fitnah.

Dalam satu laporan akhbar Sabtu lalu, Abdul Halil menyatakan, dakwaan perbelanjaan RM5 juta itu adalah perancangan pihak tertentu bagi memburukkan beliau serta menamakan tiga pihak yang mempunyai motif menjatuhkan imej beliau.

Pihak berkenaan adalah pegawai dalam jabatan itu sendiri berikutan ada khabar angin bahawa beliau akan dilanjutkan kontrak selama setahun lagi apabila kontrak tamat pada 3 Oktober ini, pihak kedua adalah penyeludup yang pernah diambil tindakan tegas jabatan berkenaan dan yang ketiga adalah pemegang permit AP yang telah menyalahgunakan permit membawa masuk kenderaan dari luar negara.