Cuaca buruk hujan lebat di Pantai Timur Semenanjung Malaysia masih berterusan dan banjir mula melanda beberapa negeri, lapor agensi berita tempatan.

Di Dungun, hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan 55 mangsa daripada 20 keluarga di dua kampung berpindah ke pusat penempatan banjir pada 5.30 petang tadi.

Bernama melaporkan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata hujan terlalu lebat malam tadi dan menyebabkan kenaikan paras air sungai.

"Ketika ini, beberapa kawasan di Terengganu masih dilanda hujan. Sehubungan itu, penduduk di kawasan rendah perlu lebih berwaspada," katanya, petik laporan itu.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin pula dilaporkan berkata tiga sekolah rendah di Dungun dan Kemaman dijangka tidak beroperasi esok.

Dua PPS di Kuantan

Jumlah mangsa banjir di daerah Kuantan mencatatkan peningkatan kepada 34 orang daripada 14 keluarga sehingga pukul 9 malam ini berikutan hujan lebat yang masih berterusan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusof berkata mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Orang Ramai Sri Damai dan Balai Raya Pandan 2.

"Sebuah pusat pemindahan baharu telah dibuka pada 7.15 malam tadi di Balai Raya Pandan 2 yang menempatkan 15 orang daripada lapan keluarga dari Kampung Pandan 2.

“Mangsa yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Sri Damai pula terus meningkat kepada 19 orang daripada enam keluarga berbanding hanya tujuh orang daripada dua keluarga petang tadi,” katanya dalam laporan Bernama.

Laporan itu juga menyebut jumlah penduduk yang dipindahkan dijangkakan meningkat menjelang tengah malam ini berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu selain fenomena air pasang besar.

Pemantauan, waspada

Bernama juga melaporkan seramai 203 orang daripada 56 keluarga di Mersing dipindahkan ke lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat malam ini akibat banjir yang mula melanda daerah tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat dipetik Bernama sebagai berkata setakat 9 malam ini, kesemua mereka melibatkan penduduk di Taman Nakhoda, Air Papan, Kampung Tanjung Genting, Kampung Tenglu Besar, Kampung Kelantan dan Kampung Air Tawar.

Beliau berkata pemantauan banjir berterusan oleh agensi yang terlibat sedang dilakukan di kedua-dua daerah yang melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.