Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Riuh ayam berhasil juga, diam tuan di mana telur'
Diterbitkan:  Jan 1, 2018 11:23 PM
Dikemaskini: Jan 2, 2018 1:34 PM

Keputusan anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar meninggalkan PAS semalam mengundang reaksi ramai pihak, ada bidasan secara tegas dan tidak kurang juga sindiran pedas.

Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Mujahid Yusof Rawa pula menulis dua rangkap pantun yang dipercayai memperli Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang terlebih dahulu menyindir tindakan Mahfuz dengan bahasa kiasan.

"Harum manis busuk katanya,
gugur berbakti rakyat jelata,
tumpang tuan ingin bertanya,
yang berulat di atas milik siapa?" begitu pantun Mujahid dalam satu hantaran di akaun Twitternya malam tadi.

Rangkap kedua pantun Mujahid pula seperti menyoal keberanian pihak yang disindirnya itu.

"Siang tidur malam berjaga,
harum bau si bunga melur,
riuh ayam berhasil juga,
diam tuan di mana telur?"

Manakala itu, dalam hantaran di Facebooknya semalam Tuan Ibrahim menyindir Mahfuz sebagai kelompok 'Harum Manis'.

"Harum manis bila dah busuk, dia jatuh sendiri dan pada waktu itu sekupang pun orang tak tak mahu beli," kata Tuan Ibrahim.

Mahfuz sebelum ini merupakan salah seorang pemimpin PAS yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan khususnya AMANAH.

Kecenderungan itu menyebabkan beliau digelar sebagai ahli kumpulan 'Harum Manis' dalam parti Islam itu. Harum Manis merujuk kepada buah mangga yang berwarna hijau di luar tetapi berisi oren di dalam yang terkenal di Perlis.

Pada Oktober lalu, PAS Kedah menggugurkan Mahfuz daripada senarai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Jangan jadi seperti ayam betina, bila bertelor dia sendiri terkejut dengan telornya, riuh sekampung. Namun tiada siapa pun peduli kecuali jenis ayam juga," kias Tuan Ibrahim.


 

Lihat Komen
ADS