Terjemahan Setiausaha Agung Parti Demokratik Malaysia (MDP), Wee Choo Keong menggesa kerajaan supaya berhenti meluluskan Permit Import (AP) secara automatik kepada ahli Parlimen.

Beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya menggalakkan ahli Parlimen membeli kereta buatan asing.

"Ahli Parlimen mesti taat kepada negara dan menyokong kereta nasional kita Proton," katanya dalam satu kenyataan.

Bekas ahli Parlimen Bukit Bintang itu berkata, pemberian AP sepatutnya hanya diluluskan kepada ahli Parlimen sekiranya kereta yang mahu dibeli itu, tidak dikeluarkan oleh Proton.

Sementara itu, bekas ahli Parlimen DAP bagi kawasan Kampar, James Wong Wing On (kiri) berkata, adalah tidak salah bagi ahli Parlimen memohon AP untuk membeli kereta sendiri.

Bagaimanapun, beliau menyarankan ahli Parlimen yang telah menjual AP untuk mendapatkan keuntungan, supaya membayarnya balik kepada pihak berkuasa.

Wong juga menjelaskan yang beliau tidak pernah memohon mendapatkan AP sewaktu menjadi wakil rakyat dahulu.

"Saya menggunakan kereta Proton Saga terpakai sewaktu menjadi ahli Parlimen. Dan saya masih menggunakan Proton hari ini," tambahnya.

Dalam senarai nama ahli Parlimen yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri semalam termasuklah menteri dan pemimpin Barisan Nasional (BN) seperti Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Dr Fong Chan Onn, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz, Timbalan Menteri Datuk Mah Siew Keong, Datuk Hon Choon Kim, Datuk Fu Ah Kiow, Datuk Donald Lim, Datuk Robert Lau, Datuk Zainudin Maidin, Datuk Shafie Apdal, Speaker Dewan Rakyat Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Timbalannya Datuk Lim Si Cheng.

Manakala pemimpin pembangkang pula termasuk bekas ahli Parlimen PAS Mohamad Sabu, Husam Musa dan Nasharuddin Mat Isa. Manakala yang lainya ialah ahli Parlimen PAS Datuk Kamaruddin Jaafar dan Salahuddin Ayub. Dari DAP pula ialah Chong Eng, Fong Po Kuan, Teresa Kok, Fong Kui Lun, serta Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Wan Azizah Wan Ismail.