Keluar menjala, pulang tanpa nyawa
Mayat seorang daripada tiga remaja yang dilaporkan lemas selepas keluar menjala petang semalam ditemukan pasukan mencari dan menyelamat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Supt Nazruel Ekram Abu Shari dalam kenyataan berkata mangsa tersebut ialah Muhammad Iqqmal Haziq Muhammad Nozili, 12, ditemukan pada 10.15 malam.
Dua lagi mangsa, Muhammad Alias M Sadri dan Muhamad Syafiq Rosli, masing-masing berusia 15 tahun masih belum ditemui.
"Saksi kejadian iaitu rakan mangsa Haikal Najmi Azhar, 15, berkata beliau dan rakannya telah pergi menjala di Sungai Pedas, Kampung Merbau 9, Pedas pada 6.15 petang. Setelah selesai menjala, saksi telah naik ke tebing, manakala tiga rakannya masih mandi di sungai.
"Haikal Najmi kemudiannya ternampak tiga rakannya itu terkapai-kapai sebelum tenggelam. Beliau segera meminta bantuan orang kampung," katanya di Rembau, malam tadi.
Nazruel Ekram berkata usaha mencari dua lagi mangsa sedang diteruskan dan pusat kawalan operasi juga telah dibuka.
- Bernama


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.