Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir sedang menewaskan Najib dalam catur, dakwa Zaid
Diterbitkan:  Jan 2, 2018 4:22 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Menjelang pilihan raya umum ke-14, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang mengatasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menurut bekas menteri Umno, Datuk Zaid Ibrahim.

"Jika ini adalah permainan catur, langkah pembukaan Najib adalah suatu malapetaka," kata bekas menteri di jabatan perdana menteri itu dalam satu catatan di blog, hari ini.

Zaid berkata Najib tidak sepatutnya membenarkan BERSATU, yang diterajui oleh Mahathir sebagai pengerusinya, didaftarkan.

"Rakyat mungkin membantah dan membidas Najib kerana bertindak kejam dan mendusta tetapi sekurang-kurangnya Mahathir tidak akan ada parti untuk bertanding pada pilihan raya ini.

"Mahathir akan gagal memberi pilihan kepada anggota Umno yang tidak puas dengan parti Melayu itu," katanya.

Bekas menteri itu mendakwa dengan "sokongan besar-besaran kepada BERSATU daripada Umno Melayu" Najib telah dipaksa untuk menukar strateginya.

Ini, katanya, termasuk ugutan untuk membatalkan pendaftaran BERSATU dan memaksa parti itu mengadakan mesyuarat agung tahunan sedangkan belum tempoh di bawah perlembagaan parti untuk berbuat demikian.

"Tetapi sudah terlambat sekarang, BERSATU hari ini masih hidup dan kuat menendang," katanya.

Berikutan itu, Zaid berkata Najib terpaksa menyusun semula sempadan kerusi pilihan raya, dan juga menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan pengundi hantu untuk menyelamatkan BN.

"Ini bodoh dan tidak berguna," katanya.

Zaid berkata tarikan Mahathir dengan pengundi Melayu mudah - BERSATU akan melindungi kepentingan mereka lebih daripada Umno.

"Itu tidak sukar untuk diyakinkan - lihat apa yang berlaku dengan Felda, Felcra dan Mara. Lihat Tabung Haji. Lihatlah kehilangan tanah Bumiputera di Johor. Saya pasti ‘banyak lagi’ akan terdedah tidak lama lagi," katanya.

Mengalih tumpuannya ke Sabah dan Sarawak, Zaid berkata, bahawa beberapa ahli strategi BN mendakwa bahawa gabungan itu mempunyai kawalan mutlak di sekurang-kurangnya 65 kerusi parlimen di negeri-negeri berkenaan.

"Jika Mahathir dan HARAPAN memenangi lebih banyak kerusi daripada BN di Semenanjung (menurut kiraan saya, kerusi itu kini berjumlah 95 berbanding 70 yang memihak kepada HARAPAN walaupun wujud undi pos dan pengundi hantu), maka mengapa Sabah dan Sarawak akan memihak kepada Najib? Mereka tidak akan. Mereka bukan robot.

"Kedua, jika Najib adalah seorang pemain catur yang bijak, dia harus bertanya mengapa Mahathir tidak membuat sebarang langkah di Sabah dan Sarawak sama sekali.

“Adalah naif untuk berfikir bahawa dia tidak mempunyai rancangan sama sekali untuk Sabah dan Sarawak. Kemungkinan rancangannya sudah mantap, dan tumpuan mereka lebih daripada sekadar (Presiden Parti Warisan Sabah) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal," katanya.

Dalam keadaan ini, Zaid menasihati menteri-menteri Umno dan ahli parlimen BN untuk memberi pemikiran serius terhadap permainan catur.

"Mereka mungkin perlu membuka pilihan. Mungkin mereka seharusnya tidak menguna pakai pendekatan setia (Menteri Komunikasi dan Multimedia) Datuk Seri Salleh Said Keruak, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Abdul Rahman Dahlan dan beberapa lain yang menganggap Najib sebagai pemimpin yang cukup sempurna dan hebat.

"Mungkin sudah tiba masanya mereka belajar bermain catur. Tiga bulan sudah cukup untuk mempelajari langkah-langkah asas untuk menyelamatkan diri mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS