Abdul Jalil Sulaiman terpaksa memohon maaf susulan video dirinya bersama anak lelakinya merentasi sungai dengan jambatan usang di Lipis, Pahang, tular di internet.

Video itu yang dirakam dan dimuatnaik di Facebook isterinya, Siti Zahara Othman setakat tengah hari tadi telah ditonton 1.5 juta kali dan dikongsi 40,000 pengguna.

“Anak emak bersemangat dah nak ke sekolah tapi kena harungi jambatan yang canggih ini.

"Dah setahun tak ada perubahan langsung. Jambatan gantung di Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala Lipis,” kata Siti Zahara dalam posting itu.

Video tersebut mengundang ribuan komen netizen yang kebanyakannya meluahkan kebimbangan mereka terhadap keselamatan anak lelakinya serta tahap infrastruktur di situ.

Ada juga yang menyifatkan Abdul Jalil sebagai tidak bertanggungjawab kerana mempertaruhkan keselamatan anaknya.

Namun dengan tidak semena-mena, satu video baru dimuatnaik menunjukkan Abdul Jalil dan anaknya bersama-sama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam video itu, Abdul Jalil memohon maaf kerana telah menularkan video tersebut dan menyatakan terima kasih kepada Wan Rosdy atas penjelasan yang diberikan yang jambatan tersebut memang dijadualkan untuk diperbaiki pada 8 Januari ini.

Wan Rosdy pula menasihati Abdul Jalil agar "mengutamakan keselamatan" dan menjelaskan jalan alternatif tersedia untuk ke sekolah tersebut.

Katanya lagi, walaupun jalan tersebut kini tidak boleh digunakan kerana banjir, pihak berkuasa menyediakan bot bagi kegunaan penduduk setempat.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pembantu Wan Rosdy berkata, Wan Rosdy bertemu dengan Abdul Jalil secara kebetulan di sekolah anaknya iaitu Sekolah Kebangsaan Batu Yon, selepas insiden itu.

"(Abdul Jalil meminta maaf) kerana beliau tidak memberikan gambaran sebenar - Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun memberikan projek membaiki jambatan itu (kepada syarikat)," katanya.

Berdasarkan surat yang dilihat Malaysiakini, JKR Lipis pada 21 Disember lalu memperuntukkan RM462,414 untuk membaiki jambatan gantung Kampung Pamah Aur, dan kerja baik pulih dijangka memakan masa 10 minggu bermula 8 Januari ini.

Tak guna pengangkutan alternatif

Pembantu itu turut menjelaskan Abdul Jalil yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah sama, tidak menggunakan pengangkutan alternatif yang telah disediakan.

"Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah menyediakan bot dan ada juga jalan alternatif, tetapi ia sedikit jauh," katanya.

Sementara itu, Siti Zahara menerusi Facebook memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada Wan Rosdy kerana menjelaskan keadaan sebenar kepada suaminya.

"Alhamdulillah, Wan Rosdy datang sendiri dan berjumpa suami saya dan menjelaskan status jambatan. Maka saya ingin mengucapkan terima kasih dan meminta maaf kepada Wan Rosdy," katanya lagi.

Sudah setahun rosak

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan isu itu "selesai" memandangkan peruntukan sudah diberikan bagi membaiki jambatan itu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan "segera membaikinya, manakala Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempersoalkan mengapa kerajaan Pahang mengambil masa setahun untuk membaikinya.

"Jambatan rosak setahun lalu akibat banjir. Ini menunjukkan kerajaan negeri di bawah Umno BN tidak bertanggungjawab," dakwa Pengarah Komunikasi Pemuda BERSATU Ashraf Mustaqim, di Facebook.