Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tengku Puan Pahang sentuh hati mangsa banjir

Mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Orang Ramai Sri Damai di sini terharu dengan keprihatinan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan melawat mereka untuk bertanya khabar dan melihat keadaan mereka di pusat pemindahan itu hari ini.

Ini berikutan Tunku Azizah tetap meluangkan masa untuk bertemu rakyat meskipun dalam keadaan tangan kanannya memakai anduh dan difahamkan baginda telah berada dalam keadaan sedemikian sejak kira-kira sebulan lalu.

Muharatul Aishah Mat Shafie, 25, daripada Kampung Sri Damai berkata dia tidak menyangka akan bertemu dengan baginda, walaupun sering membaca berita tentang keprihatinan baginda sekeluarga terhadap rakyat yang dilanda musibah.

"Tengku Puan bertanya khabar mengenai kejadian banjir yang menimpa. Saya memang tak sangka dan sebenarnya agak segan apabila berpeluang bercakap dengan baginda secara berdepan.

"Saya menjunjung kasih dengan keprihatinan baginda dan kehadiran baginda sedikit sebanyak mengubati kedukaan kami di sini," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Tunku Azizah yang tiba di dewan itu pada pukul 1 tengah hari meluangkan masa kira-kira setengah jam di pusat pemindahan itu.

Pusat pemindahan sementara itu mula beroperasi sejak 3.20 petang semalam, dan setakat ini menempatkan 42 orang daripada 19 keluarga yang terjejas banjir.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS