Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyerahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada hendak menyaman beliau atau tidak, berhubung tuduhannya bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu seorang homoseksual.

"Dia nak buat, buatlah. Dia nak sue (saman) saya atau apakah, itu hak dia," kata Dr Mahathir apabila diminta mengulas laporan bahawa Anwar mengancam akan menyaman beliau kerana membuat tuduhan itu.

Semalam, sebuah agensi berita asing melaporkan bahawa Anwar telah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir berikutan kenyataan bekas Perdana Menteri itu pada 9 September lalu, yang menuduh Anwar sebagai homoseksual.

Menurut laporan itu, peguam Anwar, Sankara Nair berkata pada minggu ini, beliau akan meminta Dr Mahathir menarik balik kenyataannya itu atau bersedia menghadapi saman malu bagi menuntut RM100 sebagai ganti rugi kerana Anwar didapati tidak bersalah (bagi tuduhan liwat) oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada seminar bertajuk "Success Mindset: Transforming Impossible To Reality" di Kuala Lumpur, Dr Mahathir berkata beliau belum tahu lagi mengenai niat Anwar menyamannya.

Menurut Bernama, Dr Mahathir berkata keputusan Majlis Tertinggi Umno memecat Anwar sebagai timbalan presiden parti itu dibuat berdasarkan bukti yang diperolehinya dan bukan berdasarkan buku bertajuk "50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM".

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan baru-baru ini yang memetik Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Dr Rais Yatim sebagai berkata keputusan mahkamah bahawa buku tersebut cuba memburukkan dan memfitnah peribadi Anwar serta mengeluarkannya daripada Umno, menimbulkan persoalan tentang keputusan yang telah diambil oleh majlis tertinggi parti itu.

"Kami langsung tidak mengambil kira tentang buku itu (yang ditulis oleh Datuk Khalid Jefri)," katanya.

Dengan nada tenang, Dr Mahathir menjelaskan bagaimana Majlis Tertinggi Umno mengambil keputusan tentang perkara itu pada 1998.

"Ini bukan sama ada mahkamah membuat keputusannya atau tidak. Ini keputusan kami. Kami tetap yakin dan kami bertindak berdasarkan maklumat yang kami ada.

"Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan itu (memecat Anwar). Beliau ada dalam mesyuarat Majlis Tertiggi dan diberi peluang untuk membuat penjelasan. Semua yang lain mendengar penjelasannya dan mereka memberi pendapat masing-asming dan keputusan mereka ialah beliau tidak lagi layak berada dalam Majlis Tertinggi (parti)," kata Dr Mahathir.