'ADAM50 bantu rancang tabungan anak, bukan pancing undi'
Ibu bapa digesa melihat sisi positif kerajaan dalam pemberian Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) iaitu sebagai membantu merancang tabungan anak dan bukan untuk memancing undi.
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat berkata ibu bapa perlu berpandangan jauh dan ADAM2050 membantu mereka membuat perancangan kewangan untuk jaminan masa depan anak.
"Jadi, apabila kerajaan memberikan dana ADAM50 berjumlah RM200, ia permulaan perancangan untuk anak memiliki tabungan atas nama sendiri," katanya kepada pemberita selepas melawat bayi tahun baharu di Hospital Tawau semalam.
Hamisa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, berkata menjadi tanggungjawab ibu bapa sebagai pemegang amanah supaya tidak menyalahgunakan dana anak sebaliknya membantu menambah simpanan anak itu.
Semua bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Jan 2018 hingga 31 Dis 2022 layak menerima unit insentif percuma ADAM50 sebanyak 200 unit.
Insentif tersebut akan dikreditkan secara automatik selepas proses pendaftaran dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga mereka ke dalam tabung unit amanah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad.
- Bernama

