Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, berbanding dengan aliran menurun yang dicatat semalam, disokong sentimen pasaran positif dan kenaikan harga minyak mentah dengan belian dilihat dalam saham mewah, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.58 mata kepada 1,787.28 daripada 1,782.7 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka 3.09 mata lebih tinggi kepada 1,785.79.

Maybank IB Research berkata, akan wujud kesan limpahan daripada semalaman Wall Street yang ditutup kukuh​​​​ ke atas pasaran tempatan hari ini, khususnya dalam saham bermodal kecil dan sederhana.

“Secara teknikal, kami menjangkakan FBM KLCI mencatat dagangan antara 1,770 dan 1,790 hari ini. Sokongan kecenderungan ke bawah pada 1,770 dan 1,752,” menurut firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Harga minyak mentah semalaman meningkat ke paras tertinggi sejak 2015, mencatatkan hargatertinggi harian di atas US$67 setong susulan keyakinan terhadap kenaikan harga berterusan sehingga tahun baru.

Peniaga berkata, protes di Iran, yang berkemungkinan boleh membawa kepada ketidakstabilan geopolitik di negara itu, turut melonjakkan harga minyak mentah lebih tinggi.

Iran merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum.

Di peringkat tempatan, lingkungan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 228 berbanding 78, manakala 196 kaunter tidak berubah, 1,309 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 220.96 juta saham bernilai RM88.96 juta.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.67, Tenaga dan Public Bank masing-masing meningkat empat sen kepada RM15.26 dan RM20.80, CIMB menokok enam sen kepada RM6.56, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.85.

Saham aktif, Hubline dan MRCB masing-masing bertambah setengah sen kepada 14.5 sen dan RM1.21, Ho Wah naik satu sen kepada 7.5 sen dan DRB-Hicom melonjak 10 sen kepada RM2.36.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 32.29 mata kepada 12,859.25, Indeks FBMT 100 naik 32.53 mata kepada 12,520.94 dan FBM 70 bertambah 42.63 mata kepada 15,877.9.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 36.39 mata kepada 13,209.98 dan FBM Ace naik 7.9 mata kepada 6,719.93.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 41.42 mata kepada 16,853.02, Indeks Perusahaan bertambah 16.6 mata kepada 3,286.12, manakala Indeks Perladangan naik 38 mata kepada 7,952.38.

- Bernama