Paling Popular
Terkini

ULASAN l Selamat tahun baru 2018. Tahun ini bukan tahun biasa. Ia tahun pilihan raya.

Pilihan raya pasti akan berlaku tahun ini kerana tempoh kerajaan hari ini tamat dalam tahun ini. Melainkan pemerintah hari ini sudah betul-betul gila dan terdesak hingga mengambil jalan gila dengan tidak mengadakan pilihan raya.

Tentunya 2018 suhu politik meningkat. Perbualan politik semakin membahang. Fitnah berleluasa. Maki hamun bertaburan. Saman menyaman menjadi-jadi. Namun semuanya ini lumrah dan fenomena biasa menjelang pilihan raya.

Ada satu fenomena luar biasa sedang berlaku menjelang pilihanraya kali ini.Suasana di mana rakyat dan pengundi semakin tidak bermaya semakin dekat pilihan raya. Rata-rata mereka suarakan rasa muak dengan politik hari ini.

Mereka kecewa dan menyampah bukan sahaja dengan pihak sebelah sini atau sana. Satu pihak. Mereka menyampah dengan kedua-duanya!

Ini bukan fenomena biasa. Biasanya pengundi dan rakyat akan menyokong atau tidak. Menyokong salah satu dari dua pihak. Kali ini kelihatannya mereka tidak menyokong kedua-duannya.

Mereka seperti keliru, ‘disillusioned’ dengan apa yang berlaku. Penganalisis politik mendapati kelompok ini semakin membesar. Fenomena ini bahaya buat negara.

Ini adalah krisis keyakinan. Hilang keyakinan kepada kepimpinan. Rakyat memang jelas sudah hilang keyakinan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN yang diterajuinya.

Tetapi dalam masa yg sama rakyat juga kelihatan masih belum dapat mengalihkan atau menggantikan keyakinan itu kepada yang lain daripada Najib dan BN.

Kita tersimpul di dalam satu kekusutan politik. Ia mesti dileraikan. Politik adalah soal keyakinan terhadap satu kepimpinan.Soalnya ekarang tidak ada satu pun kepimpinan yang diyakini oleh rakyat.

Najib memang sudah hilang kepercayaan rakyat. Skandal demi skandal berlingkaran dan melilitnya. Keaadan ekonomi pula semakin merudum. Rakyat melarat.

Pasukan menterinya pula menari songsang, berpencak tempang. Semakin hari semakin banyak kenyataan bodoh. Tiada jalan untuk beliau meraih sokongan dan keyakinan lagi. ‘The downfall is complete’.

Pembangkang pula masih terkial-kial meraih keyakinan. Keyakinan rakyat yang hilang kepada Najib tidak beralih kepada mereka. Inilah kekusutannya. Pembangkang juga tidak diyakini.

Cuma mereka belum lagi di hujung jalan seperti Najib dan pasukannya. Pembangkang masih boleh meraih keyakinan rakyat. Syaratnya mereka harus jujur dan berani meleraikan kekusutan ini.

Apabila saat memilih semakin hampir perkara pokok bagi pengundi ialah keyakinan kepada pentadbiran baru. Bukan lagi soal keburukan pentadbiran sedia ada. Soalnya ialah apa kebaikan dan keupayaan pentadbiran baru.

Dan dalam konteks politik Malaysia, rakyat mahu tahu siapa mereka. Siapa sosok-sosok yang akan memimpin pentadbiran baru. Ini penting untuk meraih keyakinan rakyat.

Pakatan Harapan (HARAPAN) ilihat masih kusut dalam soal ini. Sosok yang memimpin tidak jelas. Malah masih berkisar kepada tokoh-tokoh lama.

Benar mereka adalah sosok hebat, berjasa dan teruji. Tetapi dalam masa yang sama mereka membawa bersama mereka cerita dan kisah lalu. Masalah lampau. Di sinilah kekusutannya dan inilah yang perlu dileraikan.

Agenda pembaharuan perlu dilihat dibawa dan dijulang oleh muka-muka baru dan muda. HARAPAN punya ramai sosok-sosok muda yang mampu menjulang perubahan dan tahan serangan. Mereka sudah siap menjadi panglima perang dan mengurus kejayaan.

Justeru, tokoh-tokoh besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyidin Yassin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Lim Kit Siang wajar memberi laluan kepada tokoh-tokoh muda seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Nurul Izzah Anwar dan lain-lain menggalas tanggungjawab mengepalai pertempuran.

Dalam sejarah silam terlalu banyak kisah dan teladan panglima-panglima muda diberi kesempatan seperti ini oleh tokoh-tokoh besar sebelum mereka.

Tokoh-tokoh besar kekal aktif di dalam perjuangan. Negara masih memerlukan kepakaran dan pengalaman mereka. Mereka boleh menjadi penasihat atau membentuk ‘the council of the elders’ di dalam meniupkan semangat perjuangan semasa pertempuran dan membantu mengurus kejayaan selepas kemenangan.

Memberikan kepercayaan kepada tokoh-tokoh muda untuk mengepalai perjuangan juga akan mempamerkan roh perjuangan HARAPAN yang berani berubah. Ini penting di dalam memberi mesej jelas kepada golongan muda negara yang mahukan perubahan bahawa HARAPAN benar-benar gagasan perubahan.

HARAPAN juga semestinya lebih berani menamakan Azmin sebagai perdana menteri, Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri bersama Nurul Izzah Anwar dan beberapa tokoh-tokoh muda lain membina pasukan mantap di Putrajaya.

Berubah bukan asal berubah. Ia harus mempunyai asas kukuh. Meletakkan Azmin sebagai perdana menteri ada asasnya. Beliau berjaya mentadbir Selangor dengan cemerlang hanya dalam tempoh tiga tahun diberi amanah.

Rekod pencapaian ekonomi negeri di bawah pimpinan Azmin luar biasa. Ini faktor terpenting untuk mengemudi Putrajaya yang sedang dalam kemelut ekonomi. Beliau juga banyak pengalaman persekutuan di dalam kementerian-kementerian penting dan strategik seperti pendidikan, kewangan dan JPM semasa menjadi orang kanan Anwar.

Kemampuan Azmin bertempur tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Selain keluarga Anwar, keluarga Azmin yang paling hebat hadapi ujian dan mehnah perjuangan. Ketokohan Azmin juga terserlah di dalam kematangan sosok beliau menjaga hubungan dengan istana, satu entiti politik negara.

Muhkriz juga mempunyai kemampuan dan keupayaan serta pengalaman unik dalam pentadbiran negeri dan negara. Semasa memimpin Kedah beliau berjaya mendapat sokongan anak muda.

Pengalaman dan rekod di Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabnagsa (MITI) juga satu asset penting. Dan paling unik sebagai anak seorang PM paling lama dan berjaya di dalam sejarah negara. Mukhriz tentu berguna buat masa depan negara.

Nurul Izzah Anwar juga punya rekod cemerlang walaupun di dalam usia muda. Beliau berjaya menewaskan dua tokoh besar Umno di dalam dua pilihan raya. Kedua-dua mereka adalah menteri persekutuan semasa ditewaskan oleh Nurul Izzah.

Beliau melalui proses perjuangan reformasi sejak awal dan duduk dikedudukan paling strategik sebagai anak kepada Anwar yang dipenjarakan dan Wan Azizah yang mengepalai pertempuran dan perjuangan dari awal.

Terlalu banyak pengalaman unik dan berharga yang dikutip oleh Nurul Izzah. Hari ini tiada siapa nafikan beliau di barisan paling hadapan di kalangan pemimpin muda generasinya. Beliau mampu membina keyakinan anak muda untuk menuju Putrajaya baru.

HARAPAN mempunyai tokoh-tokoh lain yang mampu membentuk pasukan yang kuat di dalam pentadbiran baru. Datuk Saifudin Abdullah,bekas timbalan menteri yang paling berjaya di dalam BN dan dihormati kawan dan lawan ketika itu.

Datuk Saifudin Nasution pula mempunyai pengalaman di beberapa kementerian penting semasa di dalam Umno dan sekarang orang penting di dalam pentadbiran Pulau Pinang sebuah negeri yang berjaya.

Makanya tumpuan mulai ssekarang adalah untuk memperkenalkan kepada rakyat tokoh-tokoh muda HARAPAN ini dan saya percaya dengan dokongan tokoh-tokoh besar seperti Dr Mahathir, Anwar dan lain-lain mereka mampu meraih keyakinan rakyat yang diperlukan untuk membentuk gelombang baru perubahan, membina keyakinan dan meleraikan kekusutan selama ini.

Tentunya tokoh-tokoh muda bukan Melayu mesti ditampilkan bersama dan HARAPAN tidak ketandusan tokoh-tokoh berpotensi bukan Melayu.

Cuma dalam tulisan ini saya hanya tumpukan kepada kepimipnan Melayu kerana mereka seharusnya menjadi teras kepimpinan bangsa. Apatah lagi krisis keyakinan kepimpinan hari ini adalah krisis kepimpinan Melayu.

Saya tidak mewakili diri saya sendiri. Ia bukan pandangan peribadi saya. Ia pandangan dan harapan malah kepercayaan ramai yang lain yang meminta saya nyatakan pandangan ini bagi pihak mereka.

Mereka ada keterbatasan, mempunyai posisi partii dan kepentingan parti manakala saya tidak. Makanya saya diminta tampil.

Sekiranya idea ini diterima baik dan dipuji ia bukan milik saya sendiri. Namun saya ambil tanggungjawab sepenuhnya di atas setiap kekurangan dan kritikan terhadapnya. Niat saya hanya untuk pastikan negara ini berhenti dari dipimpin oleh satu kepimpinan yang dikuasai oleh daya dan budaya rasuah atau bahasa modennya kleptokrat.

Selamat tahun baru dan selamat membina kepimpinan baru untuk melakukan pembaharuan demi negara kita yang tercinta.


MOHAMAD EZAM MOHD NOR adalah bekas pemimpin PKR dan sekarang sebagai pengerusi, Hisbah Centre for Reform (Hisbah).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS