Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa Dr M lebih banyak serang PAS berbanding Umno?'

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dirasakan sering menyerang partinya berbanding Umno dan BN.

Katanya, beliau hairan dengan sikap yang ditunjukkan itu memandangkan pihak utama yang ingin dijatuhkan bekas perdana menteri itu adalah Umno.

"Saya rasa pelik dengan Dr Mahathir, (beliau) lebih banyak menyerang PAS berbanding Umno, menyerang (presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbanding (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak.

"Apa yang beliau tak puas hati? Negara ini rosak bukan kerana PAS yang memerintah, tetapi Umno dan BN," katanya kepada Malaysiakini.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya pagi ini, bekas perdana menteri itu mendakwa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat kerana turut bersekongkol dengan Najib untuk memecahkan undi pembangkang.

Walau bagaimanapun, Tuan Ibrahim tidak bersetuju.

Secara logiknya, beliau berkata, PAS bukan pengkhianat mahupun pihak yang mencetuskan perpecahan dalam pembangkang tetapi masalah itu berpunca daripada kelahiran parti-parti serpihan baru.

Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada Tuan Ibrahim merujuk kepada AMANAH atau BERSATU, atau semua parti pembakang lain, termasuk DAP dan PKR.

AMANAH terbentuk selepas sebahagian ahlinya yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Abdul Hadi bertindak keluar parti selepas keruntuhan Pakatan Rakyat pada tahun 2015 akibat percakaran sengit antara DAP dan PAS.

Manakala, BERSATU pula dibentuk oleh Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2016.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa PAS adalah parti pembangkang pertama di Malaysia, yang perjuangannya adalah untuk menegakkan dasar dan sistem Islam.

"(Dalam) sejarah politik Malaysia, PAS adalah pembangkang pertama yang berjuang bagi menegakkan dasar dan sistem Islam di negara ini.

"Maka, tidak sepatutnya wujud parti pembangkang lain kerana inilah yang menjadi punca undi pembangkang berpecah.

"Kalau nak diikutkan pengkhianat sebagaimana yang dikata Tun, maka kewujudan parti baru inilah sebenarnya pengkhianat," katanya.

Lihat Komen
ADS