Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Mahfuz ibarat ‘orang dah lama mati, tapi baru tanam’
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 11:09 AM
Dikemaskini: 4:55 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengibaratkan Datuk Mahfuz Omar sebagai 'orang yang dah lama mati' di dalam parti.

"(Dia) ibarat orang dah lama mati, baru tanam," katanya ringkas dalam sebuah video yang dikongsi di Facebooknya.

Abdul Hadi berkata demikian kepada pemberita yang memintanya mengulas tindakan Mahfuz yang juga anggota parlimen Pokok Sena keluar daripada PAS.

Mahfuz pada 31 Disember lalu mengumumkan dirinya meninggalkan parti itu selepas menjadi ahli selama lebih 30 tahun.

Alasannya, PAS hanya memperalatkan agama bagi melipat-gandakan hukuman kesalahan syariah - melalui Rang Undang-undang 355.

Beliau turut tidak berpuas hati dengan pendirian parti yang berkecuali terhadap Belanjawan 2018 serta sasaran PAS untuk hanya memenangi 40 kerusi dalam PRU14.

Selain Mahfuz, turut sama mengambil keputusan berkenaan ialah isteri serta anak-anaknya.

Beliau bagaimanapun masih belum memutuskan parti mana yang akan disertainya kelak.

Mahfuz sebelum ini adalah antara pemimpin PAS yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan khususnya AMANAH.

Kecenderungan itu menyebabkan beliau digelar sebagai ahli kumpulan 'Harum Manis' dalam parti Islam itu. Harum Manis merujuk kepada buah mangga yang berwarna hijau di luar tetapi berisi oren di dalam yang terkenal di Perlis.

Pada Oktober tahun lalu, PAS Kedah menggugurkan Mahfuz daripada senarai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Lebih mudah berurusan dengan Najib berbanding Mahathir

Sementara itu, akhbar Utusan Online memetik Abdul Hadi sebagai mengakui mudah berurusan dan bekerjasama dengan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika dibandingkan ketika era kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita kena sedar, kalau dulu semasa zaman Dr Mahathir, dia tak benarkan kita laksanakan hukum Islam.

“Namun sejak dia berhenti, dan sekarang PM baharu (Najib), kita ambil pendekatan bertemu secara berdepan dan setuju kita laksanakàn hukum Islam?

“Menteri baharu ini (Perdana Menteri, Najib) boleh berbincang dan sekarang banyak kalangan Umno mulai sedar dan berfikir untuk tegakkan Islam yang PAS ingin laksanakan hukum Islam,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS