Kementerian Pengajian Tinggi sedang menimbang cadangan untuk melantik sebuah syarikat perunding bagi meningkatkan imej menterinya, Datuk Dr Shafie Salleh dan kementerian berkenaan.

Sumber kementerian itu berkata, cadangan tersebut telah dipanjangkan kepada Bahagian Media Komunikasi Korporat kementerian tersebut, berserta kertas cadangan daripada syarikat perunding imej, Data Milik Sdn Bhd.

Katanya, syarikat perunding berkenaan telah menghantar kertas cadangan mengenai perkara tersebut melalui pejabat Dr Shafie pada bulan Mei lalu.

"Pegawai pejabat menteri telah menyerahkan cadangan syarikat tersebut kepada bahagian korporat kementerian berkenaan untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, kami belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu," katanya.

Menurutnya, ini bermakna Data Milik belum lagi dilantik sebagai perunding imej kepada menteri dan kementerian berkenaan.

Sumber itu berkata, sebuah panel khas yang dianggotai oleh pegawai tinggi kementerian akan bermeyuarat untuk memutuskan sama ada Milik Data akan dilantik sebagai perunding imej kepada kementerian dan Dr Shafie.

Katanya, pihak kementerian akan mengambilkira pelbagai aspek, termasuk kemahiran, pengalaman serta mutu kerja, sebelum melantik sesebuah syarikat menjadi perunding kementerian.

Bagaimanapun, sumber tersebut enggan menyatakan bayaran yang dicadangkan oleh Data Milik kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi menjalankan kerja-kerja peningkatan imej Dr Shafie dan kementerian.

Sah hantar cadangan

Malaysiakini difahamkan bahawa pada masa ini, tugas perunding itu menjadi tanggungjawab Bahagian Media Komunikasi Korporat kementerian berkenaan.

Tugas bahagian tersebut dibahagikan kepada tiga bidang perhubungan awam, aduan dan penerbitan iaitu untuk mempromosi kementerian kepada orang ramai.

Sementara itu, Data Milik ketika dihubungi, mengesahkan telah menghantar kertas cadangan tersebut yang antara lain bertujuan untuk memperkenalkan kementerian berkenaan kepada orang ramai.

Jurucakapnya berkata, pihaknya mengemukakan cadangan tersebut memandangkan Kementerian Pengajian Tinggi adalah kementerian yang baru ditubuhkan dan masih perlu diperkenalkan kepada awam.

"Kita mahu menaikkan imej kementerian tersebut di mata masyarakat kerana masih ada yang keliru dengan tanggungjawab kementerian berkenaan.

"Kami belum mendapat jawapan daripada Kementerian Pengajian Tinggi berhubung cadangan tersebut," kata jurucakap berkenaan.

Bagaimanapun, jurucakap itu menjelaskan bahawa cadangan tersebut telah dihantar terus kepada kementerian berkenaan dan bukannya melalui Dr Shafie.

"Saya atau syarikat ini tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Dr Shafie. Syarikat saya juga mengemukakan cadangan yang sama kepada beberapa kementerian lain," katanya.