Ketua Pengarah Kastam Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur petang tadi berhubung satu kenyataannya yang mengaitkan nama Timbalan Perdana Menteri dalam isu bermain golf.

Pertemuan selama setengah jam itu berlangsung di pejabat Najib di Kementerian Pertahanan mulai jam 6.15 petang.

Halil, yang menjadi tumpuan media sejak beberapa hari lalu ekoran kontroversi perbelanjaan bagi acara meraikan persaraannya, diiringi oleh pegawai khas beliau dan pegawai perhubungan awam kastam ketika masuk ke pejabat Najib.

"Saya sudah lakukan apa yang patut saya lakukan. Saya dah mohon maaf," kata Halil kepada pemberita sejurus selepas pertemuan itu.

Menurut Bernama, Halil berkata, beliau menganggap isu itu telah selesai. Beliau enggan mengulas mengenai reaksi Timbalan Perdana Menteri terhadap permohonan maafnya itu.

Setia berkhidmat

Dalam satu kenyataan yang diberikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Kastam kepada pemberita selepas pertemuan dengan Najib itu, Halil berkata: "Sebagai seorang kakitangan awam yang sentiasa setia berkhidmat kepada negara, serta terlatih dalam menghormati ketua, pemimpin negara dan taat setia kepada kerajaan, maka saya dengan ini melahirkan perasaan kesal dan

sesungguhnya berasa amat dukacita di atas keterlanjuran kata-kata saya tempoh hari, yang mana telah menimbulkan rasa terkilannya hati dan perasaan Datuk Seri (Najib).

"Sesungguhnya atas rasa kekesalan yang teramat sangat itu, serta dengan hati yang tulus suci, saya dengan ini memohon ribuan maaf kepada Datuk Seri atas insiden yang dilaporkan itu."

Semalam Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman meminta Abdul Halil memohon maaf kepada Timbalan Perdana Menteri berhubung kenyataannya yang mengaitkan Najib dengan isu bermain golf di Langkawi Ahad lalu.

Abdul Halil ketika itu ditanya oleh pihak media sama ada pertandingan golf persahabatan sempena mesyuarat ketua-ketua jabatan Kastam di Langkawi membabitkan perbelanjaan sempena majlis persaraannya.

Ketika menjawab soalan itu, Abdul Halil yang sedang hangat dikaitkan dengan dakwaan perbelanjaan RM5 juta untuk persaraannya, dilaporkan antara lain berkata, yang beliau membayar untuk permainan golf itu dan kemudian bertanyakan kepada media kenapa persoalan serupa tidak diajukan juga kepada Najib yang ketika itu turut berada di Langkawi untuk bermain golf.