Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akar umbi BERSATU gesa tindakan ke atas ketua Temerloh

Kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) digesa mengambil tindakan terhadap ketua bahagian BERSATU Temerloh, Amerus Che Onn kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan yang merosakkan imej parti itu.

Gesaan itu dibuat Timbalan Ketua BERSATU bahagian Temerloh Mohd Anuar Aziz pada sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya hari ini.

"Secara peribadi, perbuatan dia yang dilakukan baru-baru ini cuba mencemarkan nama naik parti.

"Kami anggap dia sebagai pengkhianat. Kalau pengkhianat terserah kepada pucuk pimpinan untuk ambil keputusan," kata Anuar (foto) ketika ditanya sama ada Amerus perlu dipecat berhubung kenyataannya.

Dalam sidang akhbar pada Selasa lalu, Amerus mendakwa perhimpunan agung tahunan pertama BERSATU pada 30 Disember adalah "syok sendiri" kerana hanya memperjuangkan kepentingan individu tertentu, dan tidak ada inisiatif menyelesaikan kemelut dalaman parti.

Ketua bahagian itu juga mendakwa pemilihan perwakilan ke AGM tidak dibuat mengikut perlembagaan parti kerana tiada perhimpunan di peringkat cawangan dan bahagian untuk memilih perwakilan hadir ke AGM berkenaan.

Anuar menolak dakwaan itu dengan menjelaskan bahawa banyak cawangan belum ditubuhkan, manakala bahagian yang dibentuk pada Julai 2017 tidak perlu mengadakan mesyuarat tahunan kerana belum genap setahun.

Amerus juga menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai pengerusi BERSATU dan Pakatan Harapan, dengan mengatakan bahawa bekas perdana itu hanya berjuang demi kepentingan peribadinya.

"Saya amat kecewa sehingga dia sanggup menyarankan supaya pengerusi letak jawatan. Perkara ini saya rasa keterlaluan sebab bukan sahaja menyinggung perasaan BERSATU tapi juga menghina kepimpinan Pakatan Harapan," kata Anuar.

Beliau juga mendedahkan bahawa pemimpin bahagian dan kira-kira 500 anggota menyerahkan usul tidak percaya terhadap Amerus kepada pemimpin pusat parti itu pada bulan Ogos.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Temerloh, Nur Hisham Asaludin.

Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum ini memberi amaran kepada BERSATU bahawa pendaftarannya boleh dibatalkan kerana didakwa gagal mengadakan mesyuarat agung tahunannya, menangguhkannya tanpa mengikut perlembagaan parti, dan tidak menubuhkan sayap pemuda secara rasmi.

 

Lihat Komen
ADS